Oleh: Hilmi Abdul Malik
PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberi penjelasan terhadap dakwaan pelakon dan penyanyi Betty Banafee yang mempertikaikan siasatan pihak polis sebelum ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya telah mengatur pertemuan dengan artis itu esok.
“Kita hanya nak menjelaskan (status siasatan) kepada beliau (Betty).
“Kerja kami siasat dan kerja menentukan ada kes atau tidak adalah kamar Peguam Negara,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3 hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Ramli juga menjelaskan, pertemuan esok tidak membabitkan sebarang proses merakam keterangan sebaliknya lebih tertumpu kepada aspek penjelasan.
Terdahulu, media difahamkan, artis itu bakal dipanggil esok susulan dakwaan terhadap polis yang tidak menjalankan siasatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) terhadap 14 laporan yang pernah dibuatnya sebelum ini.
Sebelum ini, Datuk Seri Ramli menafikan dakwaan berkenaan yang kononnya siasatan pihak polis terhadap 14 laporan polis yabg dibuat dua tahun lalu tidak mengikut SOP, selain menyifatkan kenyataan itu sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.
Beliau memberi jaminan siasatan yang adil serta telus akan dilaksanakan bagi memastikan prinsip undang-undang dan keadilan sentiasa dipelihara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.