Tumpuan :
Nasional

Dalam tempoh 2 tahun, lebih 11,000 tandas berjaya dinaik taraf – KPKT

Kor Ming (tengah) menyampaikan anugerah Kategori PBT yang dimenangi Tandas Awam MITC, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Melaka pada Majlis Anugerah ‘Toilet Of The Year 2024’ di Hotel Sheraton, Kuala Lumpur. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya menaik taraf sebanyak 11,397 tandas awam pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya dalam tempoh dua tahun.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, usaha yang membabitkan kos RM800 juta itu adalah komitmen kerajaan MADANI dalam usaha memupuk kesedaran sivik dan menerapkan budaya menjaga kebersihan selain sebagai persiapan menuju Kepengerusian ASEAN 2025 serta Tahun Melawat Malaysia 2026.

Beliau berkata, tandas awam adalah cerminan mengenai tahap kebersihan negara ini.

“Kebersihan tandas awam adalah antara penanda aras yang penting untuk diberi perhatian semua pihak, lebih-lebih lagi Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN 2025 serta penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Usaha ini menunjukkan komitmen kerajaan MADANI untuk memupuk kesedaran sivik serta memupuk budaya menjaga kebersihan,” katanya pada sidang media pada majlis Anugerah Tandas Terbaik Tahun 2024 (TOYTA’24) di sini, semalam.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M Noor Azman Taib.

Kor Ming berkata, pada Tahun Melawat Malaysia 2026 kerajaan menyasarkan ketibaan 35 juta pelancong yang bakal membawa pulangan RM147 bilion.

“Kebersihan tandas awam bukan saja penting untuk memelihara keselesaan rakyat, malah ia juga mampu meningkatkan imej negara kita di mata pelancong asing.

“Ini sebagai salah satu inisiatif utama dalam persiapan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan peruntukan RM4 juta untuk mewujudkan empat tandas awam pintar iaitu tandas bersih, menawan, wangi dan pintar atau BMW-i.

“RM4 juta akan disalurkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya sebagai ‘pilot project’. Satu tandas awam diperuntukkan RM1 juta.

“Dua tandas awam di Putrajaya iaitu di Dataran Masjid dan Anjung Flora, manakala Kuala Lumpur di kawasan tumpuan pelancong iaitu di Jalan Alor dan Jalan Petaling, kedua-duanya di Bukit Bintang.

“Kita mahukan tandas awam bertaraf enam bintang. Kesemua lokasi ‘pilot project’ adalah tumpuan pelancong. Sekarang industri pelancongan adalah sumber pendapatan kedua terbesar negara kita,” katanya.

Mengenai TOTYA’24, Kor Ming berkata, jumlah penyertaan meningkat 85 peratus dengan 657 penyertaan berbanding 345 penyertaan tahun lalu dalam tujuh kategori dipertandingkan berbanding lima kategori sebelum ini.

Tujuh kategori itu adalah hotel, pusat beli-belah, kawasan rehat dan rawat, stesen minyak dan restoran termasuk dua kategori yang baharu iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sekolah.

“Kita memerlukan sokongan dan dokongan semua pihak sama ada pihak swasta, syarikat, agensi kerajaan, serta sekolah. Pada tahun depan, satu lagi kategori akan diperkenalkan iaitu rumah ibadat.

“Baru-baru ini apabila saya bangkitkan mengenai TOTYA, jemaah menteri sebulat suara meluluskan supaya anugerah ini diangkat sebagai acara rasmi negara setiap tahun. Ini menunjukkan betapa komited kerajaan hari ini sayangkan kebersihan,” katanya.

Terdahulu, pada majlis anugerah itu, Kor Ming menyampaikan anugerah kepada pemenang bagi semua kategori dengan setiap pemenang kategori membawa pulang imbuhan RM20,000 beserta trofi.

Kategori stesen minyak dimenangi BH Petrol Ladang Bikam Arah Utara, Sungkai, Perak; kompleks beli belah (Sunway Carnival Mall, Seberang Jaya, Pulau Pinang); hotel (Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur) dan rehat dan rawat atau R&R (R&R Machap Arah Utara, Lebuhraya PLUS, Kluang, Johor).

Selain itu, kategori restoran dimenangi Andaman Seafood Village, Kuala Lumpur; PBT (Tandas Awam MITC Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Melaka), manakala kategori sekolah dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan Merbau, Miri, Sarawak.

Loading...
Terkini