comscore
Tumpuan :
Nasional

Dalam tempoh 24 jam, Dr Akmal selesaikan masalah ketiadaan kerusi, meja pelajar SRA

Dr Akmal menyusun kerusi dan meja bersama pelajar di sebuah sekolah agama di Melaka. – FOTO: Tangkap layar video tular Muhamad Akmal / Facebook

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh 24 jam, masalah ketiadaan kerusi dan meja untuk kegunaan 34 murid di Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Ayer Merbau, selesai apabila mereka menerima kelengkapan asas pembelajaran itu hari ini.

Bantuan kerusi dan meja itu disampaikan sendiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau yang juga EXCO Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh selepas beliau mengadakan lawatan mengejut ke sekolah terbabit semalam, sebaik menerima maklumat daripada ibu bapa murid mengenai perkara itu.

Dalam video yang dimuat naik di Facebook Muhamad Akmal, beliau dilihat membantu sekumpulan murid kelas itu menyusun 36 set meja dan kerusi berwarna biru untuk pembelajaran.

Sebelum ini, 34 murid berkenaan terpaksa duduk bersila di atas lantai dan menggunakan rehal yang biasa digunakan untuk membaca al-Quran sebagai meja.

“Ini hadiah Hari Guru. Belajar rajin-rajin sayang.

“Kita beri dua beri set tambahan kerusi, meja ini,” katanya sambil dilihat mesra menepuk bahu beberapa murid dalam kelas berkenaan.

Dalam catatan di Facebooknya, beliau menyatakan masalah ketiadaan kelengkapan asas bilik darjah sepatutnya diselesaikan segera tanpa berdepan kerenah birokrasi.

“Alhamdulillah, meja dan kerusi anak-anak selesai dalam tempoh 24 jam.

“Tidak perlu tunggu (hingga) lapan bulan melayan birokrasi yang melampau. Moga anak-anak kita ini dapat belajar dalam keadaan yang lebih selesa,” katanya pada keterangan video berdurasi dua minit 33 saat itu yang dimuat naik di Facebooknya, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyatakan kepada ustazah dipercayai guru kelas supaya menempatkan set kerusi, meja yang dihantar JAIM selepas ini ke kelas yang lain.

Semalam, JAIM memaklumkan, pihaknya akan menyelesaikan masalah ketiadaan kerusi dan meja di sekolah berkenaan dalam tempoh terdekat.

Jaminan itu diberikan EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Masalah ketiadaan kerusi dan meja itu tular selepas Muhamad Akmal memuat naik video lawatannya ke sekolah itu, semalam.

Muhamad Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO mendakwa, seramai 34 murid SRA JAIM Ayer Merbau, terpaksa duduk di atas lantai ketika belajar susulan kelewatan pihak pengurusan Bahagian Pendidikan JAIM menyelesaikan masalah terbabit yang berlarutan sehingga lima bulan.

Difahamkan, murid di sekolah itu terpaksa belajar di atas lantai sejak sekolah mula dibuka awal Januari lalu.

Dalam hantaran video berasingan semalam, Muhamad Akmal berkata, keadaan dilalui murid kelas itu sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Tidak boleh saya terima apabila anak-anak kita terpaksa belajar di lantai akibat tiada meja dan kerusi.

“Bila mana proses birokrasi menyusahkan rakyat inilah akibatnya,” katanya dalam catatan Facebook semalam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini