comscore
Tumpuan :
Nasional

Dalang sindiket perniagaan haram beri rasuah kepada penjawat awam, ditahan SPRM

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Dalang sindiket perniagaan haram di ibu negara yang dipercayai pemberi rasuah terbesar kepada penjawat awam bagi melindungi aktiviti mereka berjaya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan penahanan itu berkata, lelaki terbabit kini sedang disiasat pegawai SPRM.

“Sebelum ini kita kesan pemberi wang dan kita sudah tangkap mereka yang menerima. Baru semalam kita dapat (tangkap) dan sedang disoal siasat pegawai.

“Ini salah seorang pemberi wang dan kita cuba kesan pemberi lain, yang kita dapat itu pemberi wang terbesar membabitkan jumlah ratusan ribu ringgit bagi melindungi aktiviti haram di Kuala Lumpur,” katanya kepada Harian Metro.

Media sebelum ini melaporkan, SPRM Kuala Lumpur menahan reman tiga penjawat awam dan seorang bekas penjawat awam kerana dipercayai menerima rasuah secara bulanan daripada premis perniagaan haram di ibu negara.

Tiga suspek itu membabitkan Timbalan Pengarah dan anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) serta anggota agensi penguat kuasa direman selama tujuh hari, manakala seorang suspek yang bekas anggota agensi penguat kuasa direman selama lima hari.

Perintah reman terhadap semua suspek lelaki berusia antara 30 hingga 40-an dikeluarkan Majistret Shairil Farhana Ruslan selepas permohonan dibuat SPRM di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Menurut sumber, suspek utama yang juga Ttimbalan pengarah PBT dipercayai menerima wang rasuah secara bulanan antara RM100,000 hingga RM500,000 sejak beberapa bulan lalu daripada premis yang menjalankan kegiatan rumah urut dan hiburan, selain premis tanpa lesen sah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini