Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Lebih RM90 juta atau bersamaan USD20 juta dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkaitan projek tenaga solar berjaya dipulihkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hasil kerjasama Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).
Agensi itu memaklumkan, dana itu melibatkan Frank White Jr., seorang ahli perniagaan dan rakan kongsi firma pelaburan DuSable Capital Management LLC (DuSable).
“White Jr. secara sukarela bersetuju untuk menyerahkan wang tersebut kepada DOJ selepas mendapati bahawa dana yang diterima oleh DuSable berasal daripada sumber yang dikaitkan dengan dana 1MDB yang disalahgunakan, meskipun beliau tidak menyedari sumber dana itu pada waktu penerimaan.
“SPRM dan Kerajaan Malaysia komited untuk meneruskan usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Sehingga kini, sebanyak RM29.73 bilion telah berjaya dipulangkan kepada kantung kewangan kerajaan Malaysia.
“Ini tidak termasuk USD20 juta yang dipulihkan hasil usaha SPRM dan FBI baru-baru ini.
“SPRM juga sedang giat mendapatkan semula aset yang telah diselewengkan daripada negara Kuwait, Hong Kong, United Kingdom dan beberapa buah negara di Eropah,” kata kenyataan itu lagi.
Usaha itu akan terus diperhebatkan melalui kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa untuk memastikan aset-aset yang disalahgunakan dapat dipulihkan demi kepentingan rakyat dan negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.