Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
PETALING JAYA: Peruntukan Dana Kandungan Kreatif (DKK) Sektor Filem dan Industri Muzik sebanyak RM17.5 juta ditawarkan kepada penggiat industri kreatif negara bagi mewujudkan industri kreatif yang berdaya saing untuk menghasilkan impak ekonomi yang positif.
Kementerian Komunikasi menerusi satu kenyataan memaklumkan menterinya, Fahmi Fadzil melakukan pengumuman itu sempena Sesi Sembang Santai bersama Penggiat Industri Kreatif Negeri Sabah dan Sarawak di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Sabah hari ini.
Empat kategori DKK Sektor Filem melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang ditawarkan termasuklah Dana Pembangunan Skrip, Dana First Time Amateur Film Maker, Dana Co-Pro Filem Cereka dan Dokumentari serta Dana Dokumentari bermula pada 16 September 2024.
Empat kategori DKK Industri Muzik melalui Kumpulan MyCreative Ventures (MyCV) pula telah dibuka pada 26 Julai hingga 30 September 2024 melibatkan Dana Muzik Malayseana (Dana Cipta Karya), Dana Irama Perpaduan (Dana Cipta Karya), Dana Gig MADANI (Dana Persembahan Muzik) dan Dana Kandungan Aneka Muzik Interaktif (KAMI).
Sementara itu, dua lagi kategori DKK Industri Muzik iaitu Dana Permata Muzik Negara dan Dana Pemasaran dan Promosi Antarabangsa dibuka sepanjang 2024 kepada penggiat industri yang memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Permohonan DKK Sektor Filem dibuka secara dalam talian melalui pautan https://sppik.finas.my/ menerusi Sistem Pengurusan dan Pemantauan Industri Kreatif (SPPIK) manakala permohonan DKK Industri Muzik adalah melalui laman sesawang www.mycreative.com.my/grants kepada penggiat industri kreatif yang berkelayakan.
Penerima akan dipilih berdasarkan merit dan kebolehlaksanaan permohonan, selain kebolehpasaran yang mampu mengembangkan ekosistem industri kreatif negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.