comscore
Tumpuan :
Nasional

Dana RM50 juta diperuntukkan AIM perkasa usahawan wanita India

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan semasa Majlis Pengumuman Dana Khas Untuk Sahabat Usahawan India AIM di Sri Damansara.

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

SRI DAMANSARA: Kerajaan melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memperuntukkan RM50 juta sebagai dana kepada Sahabat Usahawan Wanita India bagi memperkasakan golongan berkenaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, peruntukan berkenaan dijangka akan memberi manfaat kepada 7,100 Sahabat Usahawan India baharu dan juga kepada 3,100 Sahabat Usahawan India sedia ada.

“la menjadikan jumlah keseluruhan yang mendapat manfaat melalui peruntukan dana khas ini ialah seramai 10,200 orang Sahabat Usahawan.

“Peruntukan berkenaan yang boleh dipohon sehingga RM30,000 itu dibuka bermula Isnin ini di 124 Cawangan AIM di seluruh negara.

“Syarat utama mereka yang layak, mestilah warganagera Malaysia, berbangsa India dan wanita sahaja,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pengumuman Dana Khas Untuk Sahabat Usahawan India AIM di sini, hari ini.

Turut hadir dalam majlis berkenaan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM, Datuk Seri Dr Syed Hussian AlJunid, Pengarah Urusan AIM, Mohamed Syamira Abdul Aziz dan Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM, Mohd Najib Mohd Noor.

Mengulas lanjut, Datuk Ramanan berkata, peruntukan berkenaan akan disalurkan melalui Program Khas iaitu PENN (Prosperity, Empowerment and A New Normal).

“Pendekatan berkenaan merupakan satu lagi usaha untuk memperkasakan usahawan wanita India menuju ke satu tahap yang lebih baik lagi.

“Usaha pemerkasaan berkenaan merupakan satu lagi proses nilai tambah untuk memajukan diri mereka,” katanya.

Tambah beliau, dengan peruntukan baharu itu, ia menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan untuk Sahabat Usahawan berbangsa India adalah sebanyak RM71.4 juta, di mana RM21 juta telah disalurkan bermula Januari lalu.

“Pengumuman ini secara tidak langsung merupakan berita gembira buat Sahabat Usahawan berbangsa India yang akan meraikan sambutan Tahun Baharu Tamil esok.

“Sehingga hari ini AlM mencatatkan jumah Sahabat berbangsa India seramai 3,100 dengan jumlah pinjaman yang telah dikeluarkan sebanyak RM330.20 juta,” katanya.

Untuk rekod, AIM yang ditubuhkan sejak 37 tahun yang lalu, telah mengeluarkan pembiayaan sebanyak RM33.02 bilion kepada 968,321 peminjam.

“la sekaligus telah mengeluarkan seramai 3.87 juta isi rumah dari kepompong kemiskinan.

“Bagi tahun ini sebanyak RM2.61 bilion diperuntukan untuk pembiayaan dengan jumlah Sahabat Usahawan seramai 317,339 orang,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini