
IPOH: Selepas ada kerajaan negeri yang menawarkan habuan RM3000 untuk pemenang hiasan tercantik Jalur Gemilang, lain pula ceritanya di Ipoh, Perak ini.
Inisiatif seorang pesara dalam usaha menyemarakkan lagi Bulan Kebangsaan wajar dipuji, apabila dia menawarkan potongan harga hingga 20 peratus kepada pelanggan yang makan di premisnya di sini, dengan syarat mengenakan baju dengan tema yang ketara – ‘Merdeka’ atau ‘Jalur Gemilang’.
Mohammad Zarilan Ellias, 60, berkata, diskaun istimewa buat pelanggannya di sebuah medan selera di Jelapang itu juga diberikan kepada mereka yang lahir pada 31 Ogos, pada setiap Ahad, sepanjang Bulan Kebangsaan ini.
Menurutnya, idea itu terhasil oleh beliau sendiri yang mempunyai jiwa sebati dengan sejarah kerana pernah berkhidmat di Arkib Negara Malaysia selama 39 tahun.
“Saya baru sahaja bersara dan sepanjang perkhidmatan, saya terbabit dalam pelbagai program kemerdekaan termasuk di pejabat awam dan swasta, sekolah-sekolah dan institut pengajian tinggi.
“Jadi saya mahu meneruskan legasi ini hingga ke akhir hayat untuk semarakkan semangat kemerdekaan di Perak, terutamanya bagi generasi muda.
Seorang pelanggan, Saifurnizam Ya’akob, 33, yang menikmati potongan harga itu kerana mengenakan baju dengan konsep Jalur Gemilang berkata, dia teruja kerana tidak pernah melihat promosi sedemikian pada Bulan Kebangsaan sebelum ini.
“Ini pertama kali ada kedai makan yang sediakan promosi untuk mereka yang makan di sini atau bungkus. Dengan cara ini, kita dapat merasai suasana kemerdekaan sepanjang bulan sebelum 31 Ogos nanti,” katanya.
Seorang lagi pelanggan Ismail Muhd Bayudin, 42, yang juga penduduk dari Silibin berkata, inisiatif itu dapat membantu pelanggan berjimat dan diharapkan ia akan diteruskan pada masa hadapan.
“Bagus ada potongan harga, saya tidak pernah jumpa lagi promosi seperti ini, jadi kalau boleh teruskan pada tahun akan datang dan sambutan-sambutan lain juga,” katanya yang berkunjung kedai makan itu bersama isterinya.