comscore
Tumpuan :
Nasional

Dari Lima Minit Kini Laluan Persiaran Mokhtar Dahari Sesak Sejam

Keadaan trafik yang sesak teruk di laluan Persiaran Mokhtar Dahari.

SHAH ALAM: Pihak berwajib dirayu segera melaksanakan pelebaran laluan sedia ada di Persiaran Mokhtar Dahari, di sini, yang sering mengalami kesesakan teruk membabitkan anggaran lebih 100,000 pengguna, terutama pada waktu puncak sejak dua minggu lalu.

Ia adalah laluan utama penduduk di beberapa kawasan penempatan sekitar, terutama dari Alam Budiman, Kampung Meru dan Puncak Alam, yang kini terpaksa menempuh kesesakan hampir sejam berbanding perjalanan hanya memakan masa lima minit sebelum ini.

Malah, kekurangan lorong untuk menampung peningkatan aliran trafik di laluan terbabit kerap menyaksikan kesesakan berlaku hingga sepanjang lebih tiga kilometer (km).

Pengguna, Mohd Marzuki Abdullah, 48, mendakwa kesesakan lazimnya bermula dari seawal jam 6.30 pagi dan pernah berlarutan hingga jam 9 malam, menyebabkan ada yang kelewatan menghantar anak ke sekolah.

Namun, katanya, beliau tiada pilihan kerana ia adalah satu-satunya laluan untuk menghantar anak ke sekolah berdekatan.

“Saya tinggal di Alam Budiman dan menggunakan laluan ini setiap hari sejak 2009. Malangnya sejak kebelakangan ini, ia semakin sesak tanpa mengira hari sehingga saya terpaksa bertolak lebih awal berbanding biasa,” katanya ketika ditemui.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Alam Budiman, Badrulhisham Shahbudin, 53, berkata pihak berwajib perlu segera menyelesaikan masalah kesesakan di laluan itu, lebih-lebih lagi keadaan semakin teruk sekiranya berlaku kerosakan kenderaan dan kemalangan.

“Saya melihat berlaku peningkatan jumlah kenderaan, antaranya selepas pembukaan Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) pada 14 Oktober lalu.

“Masalah berlaku kerana laluan melepasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Perdana hanya satu lorong, sedangkan jumlah kenderaan terlalu banyak,” dakwanya.

Badrulhisham berpendapat, masalah kesesakan itu boleh diatasi sekiranya pihak berwajib melebarkan lagi jalan dengan menambah lorong di laluan berkenaan.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli, berkata pihaknya berharap kerajaan negeri dan Jabatan Kerja Raya (JKR) dapat mengambil tindakan segera untuk mengatasi isu berkenaan yang turut menjejaskan penduduk di Puncak Alam.

“Rakyat kini terbeban dengan masalah kesesakan teruk itu. Jumlah penduduk juga semakin meningkat dengan pembinaan projek perumahan baharu. Justeru, pelebaran jalan berkenaan perlu segera dilakukan,” katanya. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini