KUALA LUMPUR: FashionValet Sdn Bhd, sebuah platform e-dagang terkemuka yang diasaskan pada 2010 oleh Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Anuar, kini menjadi tumpuan nasional selepas Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) menjual pegangan kolektif mereka dalam syarikat itu pada harga RM3.1 juta. Penjualan itu mencatatkan kerugian besar berbanding pelaburan gabungan RM47 juta yang dibuat pada 2018.
Kementerian Kewangan mengesahkan transaksi tersebut dalam jawapan bertulis kepada Parlimen pada 29 Oktober lalu, sebagai menjawab persoalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) mengenai pelaburan serta kerugian akibat penurunan nilai saham.
Kerugian itu bingkas mengundang kritikan awam, dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Khazanah menjalankan audit dalaman bagi menyiasat isu tersebut.
Berikut merupakan kronologi siasatan kes:
29 Oktober 2024
- Kementerian Kewangan (MoF) dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, memaklumkan Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, FashionValet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023, berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.
31 Oktober 2024
- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menggesa Khazanah, PNB dan FashionValet beri penjelasan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami.
1 November 2024
- Khazanah dan PNB keluarkan kenyataan berasingan perjelas isu pelaburan melibatkan FashionValet.
- Vivy dan Fadzarudin keluarkan kenyataan permohonan maaf dan memaklumkan perletakan jawatan mereka.
2 November 2024
- SPRM mengesahkan isu pelaburan dalam FashionValet bernilai RM43.9 juta berada dalam radar siasatan mereka.
- Perdana Menteri meminta Khazanah melakukan audit dalaman bagi menyiasat permasalahan terkait kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dalam FashionValet.
3 November 2024
- Seorang Ahli Lembaga Pengarah FashionValet menafikan dakwaan mengenai kes berkenaan yang kini dalam siasatan SPRM.
4 November 2024
- SPRM serbu MoF, Khazanah, PNB, serta ibu pejabat FashionValet untuk membantu siasatan kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta.
5 November 2024
6 November 2024
- Vivy dan suami menyambung proses merekod keterangan di pejabat SPRM
- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan bermesyuarat bagi menentukan sama ada wakil FashionValet, PNB dan Khazanah perlu dipanggil susulan isu kerugian pelaburan.
- SPRM geledah kediaman Vivy dan suami di Mont Kiara, Kuala Lumpur dan menyita pelbagai barangan termasuk 11 beg tangan, seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan RM200,000.
7 November 2024
- Vivy dan Fadzarudin hadir untuk kali ketiga ke Ibu Pejabat SPRM untuk direkod keterangan.
- SPRM kesan terdapat beberapa transaksi akaun mencurigakan dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami Khazanah dan PNB dalam FashionValet.
- SPRM membeku 11 akaun bank persendirian dan enam akaun syarikat milik Vivy dan Fadzarudin bernilai kira-kira RM1.1 juta.
- SPRM maklumkan merakam keterangan pegawai kanan Khazanah, PNB, Fashion Valet, akauntan, penilai syarikat dan pempengaruh.
8 November 2024
- Vivy dan suami hadir ke pejabat SPRM kali keempat untuk direkod keterangan bagi membantu siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.