comscore
Tumpuan :
Nasional

Daripada sampah kepada nafkah buat keluarga

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

SHAH ALAM: Kekurangan pada diri seseorang mampu dijadikan sebagai inspirasi jika sesuai dengan caranya, asalkan tidak malas dan niat mahu berbakti kepada orang lain.

Kisah Amran Karno, lelaki Orang Kurang Upaya OKU yang mengangkut sampah di kawasan perumahannya sebagai ikhtiar untuk mencari rezeki salah satu teladan yang patut diikuti.

Amran Karno, 46 tahun menyara keluarga dengan mengangkut sampah di kejiranan perumahannya di Seksyen 22 Shah Alam bermula 2015.

Dia melakukan kerja itu sebagai ikhtiar menyara keluarga selepas terlibat dalam kemalangan motosikal kira-kira 24 tahun lalu.

Tragedi itu menyebabkan Amran mengalami kecacatan kekal anggota badan apabila sendi kakinya patah sekali gus menyukarkannya untuk melakukan kerja berat.

“Daripada situ saya dapat boleh lah sara anak-anak dan bagi nafkah untuk isteri saya selain lepas untuk perbelanjaan harian tampung sikit-sikit dan dekat situ lah punca pendapatan saya dari sampah jadi duit.” katanya ketika ditemui di kediamannya di Shah Alam, Selangor.

Amran menawarkan perkhidmatannya sebagai pemungut sampah hampir setiap hari bermula jam 11 malam.

Katanya waktu itu sesuai untuk memungut sampah kerana ramai penduduk sudah pulang dari tempat kerja selain memudahkannya untuk menggunakan lif.

Amran menawarkan caj perkhidmatan RM5 bagi sebuah rumah dan bersyukur usahanya turut mendapat sokongan daripada pihak Badan Pengurusan Bersama JMB di pangsapuri 15 tingkat ini.

Isterinya Siti Mariam Elias, 47 tahun yang bekerja sebagai Pengurus Kandungan Strategik di syarikat swasta berkata sokongan terhadap suaminya dicurahkan tanpa henti walaupun mengakui ada pihak yang memperlekehkan usaha murni si suami.

“Saya selalu bagi sokongan kepada dia yang tak bekerja. Sebenarnya ramai orang sekeliling kata dia makan duit bini, ada.

“Benda macam sudah biasa, tetapi bagi situasi orang tidak sama dengan orang lain. Saya bagi semangat kepada dia, tidak payah fikir orang lain walaupun awak kerja angkut sampah, saya tak malu” kata Siti Mariam.

Walaupun mempunyai pendapatan yang baik, Siti Mariam tidak pernah memandang rendah terhadap suaminya yang mempunyai kegigihan dalam membantunya menyara keluarga.

Bagi Amran memberi keselesaan kepada keluarga merupakan tanggungjawab suami yang perlu diambil berat.

“Tanggungjawab kita sebagai suami ini besar. Kita kena jaga mereka bagi mereka makan, pakaian, rumah dan kesenangan.

“Jadi tanggungjawab kita mencari rezeki dan kita kena buat. Kalau kita tidak buat siapa nak buat siapa nak bagi anak bini kita makan ?” kata Amran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini