comscore
Tumpuan :
Nasional

Dasar dwi rangkaian 5G pacu persaingan, mapan ekosistem telekomunikasi

Foto: Fahmi Fadzil/ Facebook

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi memutuskan dasar dwi rangkaian 5G adalah untuk memacu persaingan meskipun pelaksanaannya bersifat komersial.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, dasar rangkaian 5G kedua itu juga bagi memastikan kemapanan ekosistem telekomunikasi dalam negara.

Menurutnya, perkara itu antara dibangkitkan ketika menerima kunjungan hormat Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China, Jin Zhuanglong, di sini hari ini.

“Dalam pertemuan lebih 40 minit ini, kami telah membincangkan banyak perkara berkait isu telekomunikasi termasuk pelaksanaan rangkaian 5G kedua.

“Saya telah menegaskan bahawa Kerajaan Malaysia kekal komited untuk melaksana dasar model dwi rangkaian 5G,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Jelasnya, syarikat telekomunikasi (telco) yang terlibat dalam pelaksanaan model dwi rangkaian tersebut akan melengkapkan proses pegangan ekuiti dalam Digital Nasional Bhd (DNB) pada Jumaat ini (21 Jun).

Sejurus selepas itu, proses mengenal pasti syarikat telco yang akan membangunkan rangkaian 5G kedua akan bermula.

Bagaimanapun, proses tersebut hanya akan dibuka kepada syarikat telco yang telah melengkapkan pegangan ekuiti (SSA) di dalam DNB.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, perbincangan dengan Zhuanglong turut memberi fokus kepada usaha mengeratkan hubungan antara kedua-dua kementerian.

“Saya turut menyentuh teknologi ‘direct-to-cell’ melibatkan satelit orbit rendah Bumi (LEO) yang mungkin dapat membantu mengatasi masalah internet di kawasan terpencil, serta kawasan yang tiada sambungan internet,” katanya.

Setakat 30 April lalu, perkhidmatan rangkaian 5G mencapai 81.5 peratus liputan di kawasan berpenduduk, manakala kadar penerimagunaannya telah mencapai 39.2 peratus.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini