Tumpuan :
Nasional

Dasar ekonomi MADANI yang jelas mampu pacu negara di peringkat global

Datuk Seri Anwar menghadiri sesi meja bulat bersama pemain industri dan perniagaan Mesir, di Kaherah semalam.

Oleh: Azwaliza Azman

KAHERAH: Perdana Menteri melahirkan keyakinan dasar ekonomi MADANI yang jelas mampu memacu ekonomi di peringkat global.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, petunjuk ekonomi Malaysia yang memberangsangkan, selain diiktiraf sebagai hab utama dalam bidang semikonduktor dan tenaga hijau di rantau Asia Tenggara memungkinkan Malaysia berupaya memainkan peranan berkenaan.

“Sebelum berlepas ke Riyadh, Arab Saudi, saya dan delegasi menghadiri sesi meja bulat bersama kira-kira 60 pemimpin industri dan perniagaan meliputi pelbagai sektor yang berpusat di Mesir serta delegasi perniagaan Malaysia.

“Sesi ini turut dihadiri oleh Menteri Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa Republik Arab Mesir, Hassan El Khatib dan dimanfaatkan sebaiknya untuk berinteraksi serta memberi keyakinan kepada mereka terkait peluang pelaburan di Malaysia selain penerokaan usahasama perniagaan dan perdagangan dengan syarikat di negara kita,” katanya dalam kenyataan selepas menghadiri sesi meja bulat bersama pemain industri dan perniagaan, di sini semalam sebelum berlepas ke Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab-Islam yang dijadual berlangsung hari ini.

Jelasnya, beberapa peluang dalam industri sawit, automotif, farmaseutikal dan produk perubatan, semikonduktor, sektor digital serta tenaga diperbaharui turut dibincangkan bersama pemain industri dan perniagaan Mesir dalam sesi itu.

Datuk Seri Anwar ketika berucap dalam sesi berkenaan berkata, antara fokus Malaysia apabila mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada tahun depan ialah meningkatkan lagi aktiviti ekonomi dan perdagangan di antara negara anggota rantau itu.

Hadir sama dalam sesi meja bulat itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini