GEORGE TOWN: Malaysia akan memantau mengenai dasar kerajaan baharu Amerika Syarikat (AS) susulan kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya Presiden AS, baru-baru ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata Trump akan mengambil alih jawatan Presiden tahun depan dan sehingga tempoh itu, Malaysia akan melihat dasar baharu yang akan mereka perkenalkan terlebih dahulu.
“Trump sedang merangka Kabinet dan peralihan kuasa, ia akan berlaku pada Januari tahun depan. Buat masa sekarang, beliau sedang membina Kabinet dan bagi Malaysia, kita akan menemukan dasar baharu,” katanya, lapor BH Online.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung sama ada pentadbiran baharu Trump akan memberi kesan kepada Malaysia.
Terdahulu, keputusan awal pilihan raya Presiden AS menyaksikan kemenangan Trump mengatasi calon parti Demokrat, Kamala Harris.
Dengan pendekatan ‘America First’ menumpukan kepentingan domestik, pentadbiran Trump dijangka mengubah landskap perdagangan antarabangsa, mempengaruhi aliran pelaburan dan hubungan geopolitik.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata kerajaan dijangka mengubal satu akta baharu berhubung pinjaman wang yang ditawarkan oleh institusi bukan bank dalam mengawal pemberian pinjaman kepada peminjam.
Beliau berkata, akta berkenaan penting memandangkan semua sistem kewangan yang ada ketika ini adalah di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM).
“Dengan adanya akta itu, ia akan memudahkan kerajaan dan BNM mengenalpasti sebarang isu yang timbul daripada pinjaman yang dibuat oleh pihak berkenaan.
“Akta itu adalah bagi mengawal pemberian pinjaman, sistem ‘beli sekarang bayar kemudian’ dan sebagainya oleh institusi bukan bank,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.