comscore
Tumpuan :
Nasional

Dasar kuota 30 peratus wanita pembuat keputusan perlu dimansuh segera

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri. – FOTO: NSTP

JASIN: Kuota 30 peratus golongan wanita dilantik sebagai pembuat keputusan yang menjadi dasar kerajaan sebelum ini perlu dimansuhkan segera.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah itu perlu dilaksanakan kerana peranan wanita dalam bidang profesional tidak harus disekat lagi seperti sebelum ini.

“Kita tidak sepatutnya ada apa-apa (had) siling (seperti) dari segi 30 peratus itu. Kalau dalam sektor awam kita sudah sampai 42 peratus, jadi (tak patut) kalau kita nak letak seperti 50 peratus atau apa-apa (had) sekali pun.

“Tak perlu ada siling peratusan sebab wanita sepatutnya boleh bergerak secara bebas tanpa sekatan, kita tak perlukan kuota lagi kerana kemampuan kita dinilai berdasarkan kemahiran dan kecekapan yang ada,” katanya selepas melakukan lawatan kerja Program Pembangunan Wanita Tun Fatimah sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa (SHWA) 2024 di Laman Wanita (LaWa), hari ini.

Media sebelum ini melaporkan gesaan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pengerusi Kumpulan Rangkaian Sumber Manusia, Datuk Nora Manaf, supaya ditubuhkan Suruhanjaya Wanita bagi memastikan penyertaan golongan wanita ditingkatkan dalam pelbagai bidang termasuk kepemimpinan politik, jawatan eksekutif atau keahlian dalam panel dan lembaga membuat keputusan.

Kewujudan Suruhanjaya Wanita itu penting sebagai faktor penolak utama dalam mengangkat martabat wanita, khususnya dalam bidang profesional dan korporat, selain berperanan mengenal pasti dan menonjolkan bakat wanita yang perlu diketengahkan.

Katanya, persepsi organisasi berhubung stereotaip dan diskriminasi gender atau budaya yang menghalang kemajuan wanita ke jawatan tinggi tidak sepatutnya berlaku dan Malaysia perlu bersaing dengan negara lain dalam mempelopori usaha mengiktiraf golongan itu yang dilihat seakan diketepikan sejak bertahun lalu.

Selain itu, baru-baru ini, bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz yang turut menyentuh isu sama berkata, ramai wanita layak mengisi jawatan penting, namun dasar had 30 peratus kerajaan menghalang potensi golongan terbabit untuk diketengahkan.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, dilaporkan berkata, individu yang mencadangkan kuota 30 peratus itu sebelum ini didakwa mempunyai agenda tersendiri supaya boleh menempatkan rakan atau kenalan mereka sebagai ahli lembaga pengarah syarikat.

Mengulas pandangan Datuk Seri Rafidah itu, Datuk Seri Nancy berkata, beliau menyambut baik dan bersetuju dengan apa yang dilontarkan bekas pemimpin wanita negara itu, malah mengakui negara mempunyai ramai wanita yang layak dari segi akademik serta pengalaman untuk berada pada peringkat pembuat keputusan.

“Tidak perlu kita menetapkan lagi kuota 30 peratus ini, beliau (Rafidah) sudah berjaya melatih ramai wanita (sebelum ini), jadi saya juga sependapat ramai wanita boleh dibawa ke atas (sebagai pembuat keputusan),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini