comscore
Tumpuan :
Nasional

Dasar pemulihan ekonomi negara di landasan tepat – Ismail Sabri

Foto NSTP – Ismail Sabri (tengah) diiringi calon BN bagi DUN Kemayan, Khaizulnizam Mohamad Zuldin (kiri) bersalaman dengan penduduk kampung ketika hadir ke Program Moh Ngeteh Santai Orang Kita di Kampung Orang Asli Bongkok, Bera

BERA: Dasar pemulihan ekonomi pasca COVID-19 dilaksanakan kerajaan berada pada landasan tepat untuk melonjak semula ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini terbukti apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 14.2 peratus bagi suku ketiga tahun ini berbanding 8.9 peratus pada suku kedua sebelum ini.

Beliau berkata, peningkatan positif ini menunjukkan dasar dilaksanakan kerajaan seperti pembukaan semula ekonomi dan sempadan, memberi impak kepada Malaysia.

“Kerajaan juga berjaya memacu pemulihan ekonomi pasca COVID-19 yang didorong pembukaan ekonomi selaras peralihan ke fasa pandemik, memberangsangkan penggunaan swasta dan pasaran buruh.

“Ini juga membuktikan tuduhan pembangkang bahawa kerajaan gagal memulihkan ekonomi ternyata meleset sama sekali,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Ngeteh Santai Orang Kita di Perkampungan Orang Asli Kampung Bongkok di sini, hari ini.

Turut hadir, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemayan, Khairulnizam Mohamad Zuldin.

Pada majlis sama, kira-kira 100 masyarakat Orang Asli hadir memberi sokongan kepada Ismail Sabri yang juga calon BN bagi Parlimen Bera.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kadar pengangguran terus menurun dengan 3.6 peratus direkodkan pada September lalu, berbanding 4.6 peratus untuk tempoh sama tahun lalu.

“Malah, jualan perdagangan borong dan runcit mencapai RM134 bilion untuk September lalu menunjukkan peningkatan 23.9 peratus, berbanding September 2021 dengan nilai dagangan sebanyak RM108.1 bilion.

“Sektor perniagaan juga semakin mengukuh dengan nilai dagangan sebanyak RM161.7 bilion bagi sektor pembuatan pada September lalu, dengan peningkatan 19.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Ismail Sabri berkata, lonjakan ekonomi dicapai Malaysia ketika pentadbiran beliau selaku Perdana Menteri membuktikan kerajaan serius untuk memastikan kehidupan rakyat semakin baik.

Beliau berkata, kerajaan tampil dengan pelbagai dasar pemulihan untuk membawa Malaysia keluar dari kancah kemelut ekonomi walaupun berdepan kelembapan ekonomi dunia.

“Saya berharap momentum ini berterusan, namun ketidaktentuan ekonomi dunia mungkin boleh memberi kesan KDNK negara.

“Kita akan sentiasa pantau supaya tiada kesan besar terkena pada Malaysia walaupun sedar masih juga terkesan kerana faktor jalinan dagangan dengan negara lain seluruh dunia,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini