comscore
Tumpuan :
Nasional

Dasar TVET Negara dibawa ke Kabinet

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tiga kanan) melakukan gimik perasmian ketika Majlis Pelancaran mynext TVET sempena Program Setahun bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO: NSTP

Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

KUALA LUMPUR: Dasar TVET Negara akan dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk kelulusan dan dijangka dilancarkan pada Jun tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan memberi penekanan terhadap bidang TVET kerana permintaan dan keperluan industri kepada modal insan berkeupayaan seiring peredaran teknologi yang amat pantas.

“Apa yang penting ia bukan satu dasar baru tetapi penyelarasan aktiviti pendidikan TVET di antara 12 kementerian dan penyelarasan membabitkan 1,344 institusi TVET. Bagi tujuan itu, pihak kerajaan dan swasta di seluruh negara perlu berkolaborasi.

“TVET menjadi 10 pemacu utama atau ‘gamechanger’ bagi melahirkan tenaga mahir tempatan dan secara langsung akan
mengurangkan kebergantungan kita kepada tenaga kerja asing,” katanya pada majlis pelancaran MyNext TVET di Bukit Jalil, hari ini.

Tambahnya, pasaran TVET kini bukan lagi menjadi pilihan kedua pelajar yang gagal memasuki universiti, tetapi menjadi solusi dalam mendepani keperluan industri yang dinamik.

“Setiap tenaga mahir yang dilahirkan melalui program TVET berupaya memberikan satu anjakan perubahan yang konkrit, mampu mewujudkan pekerja mahir terlatih serta berupaya mencipta pekerjaan sendiri dengan berbekalkan kemahiran yang dimiliki.”

“Kerjasama pihak industri dan institusi TVET yang kukuh amat signifikan dalam memastikan padanan antara penawaran
dengan permintaan dalam membantu institusi TVET tempatan menyediakan keperluan kursus-kursus berteras industri berteknologi tinggi berdasarkan kehendak industri,” tambahnya.

Justeru, ujar beliau, kerajaan mahu 70 peratus daripada masa pengajian bagi  TVET memberi penekanan kepada aspek praktikal sebagai satu daripada usaha untuk menambah baik kebolehpasaran pelajar dalam bidang itu.

Perkara itu telah dicadangkan melalui Majlis TVET Kebangsaan.

“Maknanya, selepas tamat kursus, mereka mempunyai latar belakang yang kuat dalam bidang tertentu, maka dengan itu kebolehpasaran lulusan TVET dapat dipertingkatkan daripada kadar 98.5 peratus kepada sekurang-kurangnya 99.5 peratus,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini