
Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Pelancaran pembaharuan portal terbuka rasmi kerajaan Malaysia iaitu Data Terbuka Sektor Awam (data.gov.my) adalah permulaan era baharu bagi memantapkan ketelusan sektor awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, portal yang merangkumi pelbagai set data terperinci dan berfrekuensi tinggi secara terbuka itu mampu mendorong inovasi berpacukan data sektor awam dan swasta.
“Portal ini dilengkapi dengan API Terbuka (OpenAPI) rasmi Malaysia, papan pemuka bersifat analitik (analytical dashboards), katalog data serta kecerdasan buatan (AI).
“Pada masa sama, portal OpenDOSM (open.dosm.gov.my) juga dinaik taraf sebagai satu komponen penting dalam infrastruktur data terbuka nasional,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali pada Persidangan Digital Sektor Awam 2023 melancarkan pembaharuan portal Data Terbuka Sektor Awam (data.gov.my) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Jelas Anwar, beliau berbangga dengan pelancaran portal itu kerana kejayaan dicapai dalam tempoh empat bulan sahaja atas usaha diterajui Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bersama Unit Nukleus GovTech.
Ujarnya, ia juga selari dengan Kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang menekankan agenda pendigitalan sebagai pemacu inovasi dan pencambah produktiviti negara.
“Kerajaan memainkan peranan penting dalam membina ekosistem pendorong yang akan merancakkan ekonomi berteraskan digital dan meningkatkan daya saing negara di rantau Asia Tenggara dan persada dunia.
“Oleh itu, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mempergiat revolusi digital dalam sektor awam dan salah satu inisiatif termasuklah penubuhan GovTech Malaysia,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, di samping MAMPU yang memainkan peranan penting dalam merancang dan menyelaras pendigitalan sektor awam, pendekatan GovTech adalah untuk membolehkan pelaksanaan projek digital sektor awam tanpa pembabitan perunding dan kontraktor luar.
Tambahnya, pembaharuan portal data.gov.my membuktikan sesuatu produk bertaraf dunia dapat dihasilkan dengan pantas sekiranya kerajaan berjaya menarik bakat yang sesuai untuk berkhidmat dalam sektor awam.
“Saya mengharapkan semua kementerian, jabatan, dan agensi sektor awam memberi kerjasama penuh kepada MAMPU dalam terus memperkasakan usaha penyediaan data terbuka.
“Ketelusan merupakan salah satu tunjang kepada sebuah demokrasi yang subur, maka sektor awam perlu memantapkan ketelusan dalam mendukung amanah kerajaan kepada rakyat Malaysia,” tegasnya.