comscore
Tumpuan :
Nasional

Dataran Wangsa Melawati jadi lokasi kaki vandalisme 

Oleh: Ain Shafiqah Zaki  
  
KUALA LUMPUR: Menyakitkan mata dan mencacatkan pemandangan.

Keindahan bangunan di kawasan Dataran Wangsa Melawati tercemar apabila diconteng dengan pelbagai lukisan oleh individu tidak bertanggungjawab.

Tinjauan mendapati dinding, kotak meter elektrik dan tong sampah menjadi tempat pelukis tidak bertauliah itu menghasilkan karya.

Lebih memalukan, terdapat tulisan berunsur lucah turut diconteng di kotak meter elektrik yang mana ia jelas terpampang di laluan masuk kawasan berkenaan.

Kami mendapati ada lebih 10 kawasan di sini yang menjadi sasaran antaranya di Jalan Dataran Wangsa Satu.

Menurut pekerja sekitar kawasan terbabit, Yusriyan Shah Jasni, 23, kesan yang ditinggalkan oleh kaki vandalisme itu mula disedari sejak bulan lalu.

“Saya sedar lukisan itu sejak bulan lepas masa saya nak pergi beli makanan kat bawah, saya naik balik saya nampak benda tu.

“Tidak sepatutnya berlaku, mungkin jika ada aktiviti mural individu terbabit boleh menyumbangkan karya,” katanya ketika ditemui Buletin TV3.

Yusriyan Shah Jasni, 23.

Ada sesetengah contengan seperti sudah lama dilukis, berdasarkan warnanya yang sudah pudar, namun tiada inisiatif daripada pihak berwajib untuk mengindahkan semula kawasan terbabit.

Orang awam, Tehzibe Zahra Safdar Hussin, 25, berharap agar pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat pemantauan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) kerana jika si pelaku tidak dikenakan sebarang tindakan, perkara tersebut dikhuatiri akan semakin membarah.

“Kalau boleh pasanglah CCTV takut nanti makin banyak. Itu baru sikit takut nanti lagi banyak, ia menyusahkan banyak pihak,” ujarnya yang ditemui pagi tadi.

Tehzibe Zahra Safdar Hussin, 25

Sementara itu, suri rumah, Nur Shahirah Ghazali mencadangkan supaya pihak berwajib menyediakan platform bagi kaki vandalisme menyumbangkan karya di tempat yang sepatutnya.

“Benda ini sebenarnya agak susah dikawal sebab ianya kesedaran sendiri jugalah.

“Budak-budak ini jika ada tempat untuk melukis takpelah sebab kalau kita letak CCTV ke apa benda tu menambah lagi kos untuk perbandaran,” katanya.

Suri rumah, Nur Shahirah Ghazali

Kami telah cuba mendapatkan reaksi pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung isu ini dan masih menunggu kenyataan mereka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini