comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Datuk’ palsu ditahan SPRM, terima rasuah RM92,000

Foto: NSTP

 

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan seorang pengarah syarikat pengiklanan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM92,500 sebagai balasan melantik sebuah syarikat untuk kerja-kerja pemasangan dan penyelenggaraan papan iklan di salah sebuah daerah di negeri ini yang berjumlah RM2.5 juta.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 60-an dipercayai ditahan kira-kira jam 11 pagi tadi di kediamannya yang terletak di Batu Caves, Selangor.

Manakala seorang lagi suspek lelaki yang dipercayai menjadi orang tengah turut ditahan di sekitar Kuantan, Pahang pada hari yang sama.

“Suspek yang berusia lingkungan 60-an turut dipercayai menggunakan gelaran ‘Datuk’ yang tidak diiktiraf dan melakukan kesalahan tersebut pada tahun 2020.

“Beliau telah ditahan kerana menerima wang rasuah yang dimasukkan ke dalam beberapa akaun bank dan syarikat suspek juga telah ditawarkan kerja-kerja pemasangan dan penyelenggaraan papan iklan di seluruh negara melalui sebuah kementerian Kerajaan Persekutuan,” kata sumber tersebut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, kedua-dua suspek akan dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Kemaman esok.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini