Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) baharu berkuat kuasa hari ini.
AADK dalam kenyataan memaklumkan, pelantikan sebagai Ketua Pengarah AADK yang ke-14 itu bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut sejak 26 April lalu.
Ruslin menggantikan Sutekno Ahmad Belon yang bertukar ke Kementerian Sumber Manusia sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi).
“Sehubungan itu, AADK merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan selamat menjalankan tugas kepada Ruslin atas pelantikan ini.
“AADK turut menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Sutekno atas khidmat bakti sepanjang memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah AADK,” menurut kenyataan itu hari ini.
Ruslin berpengalaman lebih 28 tahun dalam perkhidmatan awam melalui lantikan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1995.
Beliau pernah memegang jawatan utama antaranya Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah Imigresen.
Jawatan Ketua Pengarah Imigresen kini disandang oleh Timbalan Ketua Setiausaha Pendayaupayaan Pengguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Zakaria Shaaban.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.