Tumpuan :
Nasional

DBKL akan susun semula penjaja di ibu kota melalui Program Lestari Niaga

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa di Dewan Rakyat.

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyusun semula penjaja di ibu kota, termasuk pemegang lesen KL Madani bagi memastikan mereka dapat berniaga secara sah di tapak gerai yang lebih formal dan berstruktur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, penyusunan itu akan dilaksanakan melalui Program Lestari Niaga yang akan diteruskan untuk tahun 2025 dengan pelaksanaan 20 projek yang dianggarkan akan melibatkan 1,300 penjaja.

Menurut Dr.Zaliha, sepanjang tahun lalu hingga kini, program tersebut memberi manfaat kepada para peniaga dan penjaja kecil.

“Program ini telah memanfaatkan 2,621 peniaga dan penjaja kecil melalui pelaksanaan 83 projek di 76 lokasi gerai makanan dan pasar.”

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun yang meminta kerajaaan menyatakan apakah status terkini Lesen KL Madani yang telah dikeluarkan oleh DBKL dan adakah lesen-lesen ini masih aktif serta berapa jumlah keseluruhan lesen yang telah dikeluarkan setakat ini di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Dr. Zaliha memaklumkan, Lesen KL Madani hanya membenarkan permohonan pembaharuan sahaja bagi pemegang lesen KL Prihatin sahaja dan sebarang permohonan baharu tidak akan dipertimbangkan.

Berdasarkan rekod, jumlah lesen yang telah dikeluarkan di bawah KL Prihatin adalah sebanyak 4,328.

“Setelah pandemik berakhir, jumlah terkini pemegang lesen yang masih aktif dan telah memperbaharui lesen atas jenama KL Madani adalah seramai 433 orang sahaja, iaitu kira-kira 10% daripada jumlah lesen asal”

Beliau turut menegaskan, penjaja-penjaja ini akan dipantau supaya tidak menyebabkan perkara-perkara seperti kesesakan lalulintas akibat berniaga di lokasi yang tidak sesuai, kebersihan bandar yang terjejas akibat ketidakpatuhan pematuhan penjaja terhadap garis panduan dan persaingan ruang awam antara penjaja dan pengguna lain seperti pejalan kaki di kawasan siar kaki atau kaki lima.

DBKL turut akan meningkatkan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan garis panduan dan kesejahteraan awam tetap terjaga susulan menerima aduan daripada sesetengah komuniti yang terjejas akibat kacau ganggu daripada aktiviti penjaja, terutamanya penjaja tanpa lesen.

“Penjaja yang masih beroperasi di bahu jalan dan kaki lima perlu dipindahkan melalui Program Lestari Niaga kerana tidak semua kawasan di Kuala Lumpur adalah sesuai untuk aktiviti penjaja”

Pendekatan ini bukan bertujuan untuk menghapuskan penjaja tepi jalan secara total, tetapi memastikan mereka dapat terus berniaga dalam persekitaran yang lebih selamat dan bersih, selaras dengan aspirasi menjadikan Kuala Lumpur sebagai Bandar C.H.A.S.E. yang mesra peniaga kecil.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini