comscore
Tumpuan :
Nasional

DBKL bantu kawal laluan bas perantara LRT Laluan Ampang

KUALA LUMPUR: Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk melancarkan perjalanan bas perantara yang menyokong perkhidmatan alternatif Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Rapid Bus memaklumkan, kerjasama berkenaan hasil perbincangan pihaknya bersama DBKL dan sokongan yang diberikan DBKL itu diaktifkan bermula waktu puncak petang tadi.

Katanya, usaha itu bagi membantu melancarkan perjalanan bas perantara yang menyokong perkhidmatan alternatif LRT Laluan Ampang, terutamanya laluan di antara stesen LRT Hang Tuah dan LRT Bandaraya.

“DBKL menyediakan laluan khas di waktu puncak dan bersetuju meletakkan kon di laluan lorong paling kiri di Jalan Raja Laut untuk kegunaan bas perantara LRT.

“Selain itu, DBKL memberi kebenaran untuk bas kendalian Rapid KL untuk melalui Jalan Tun Perak sekiranya jalan itu ditutup kepada lalulintas ketika waktu puncak,” katanya.

Tambah kenyataan itu, DBKL bersetuju menempatkan penguat kuasa di persimpangan lampu isyarat Jalan Tun Perak dan Bulatan Dato’ Onn dengan sokongan anggota Polis Bantuan Prasarana di lokasi terbabit.

“DBKL juga membenarkan pemasangan khemah-khemah di stesen-stesen LRT yang terjejas bagi kemudahan dan keselesaan para pengguna.

“Rapid Bus mengucapkan terima kasih di atas sokongan tambahan DBKL bagi kemudahan dan keselesaan pengguna yang terkesan akibat gangguan perkhidmatan LRT Laluan Ampang di antara stesen LRT Masjid Jamek dan stesen LRT Bandaraya,” katanya.

Loading...
Terkini