comscore
Tumpuan :
Nasional

DBKL Perkenal Surau Bergerak

FOTO: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur/Facebook

KUALA LUMPUR: Pengunjung program luar di sekitar ibu negara kini lebih mudah menunaikan solat menerusi inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengubah suai satu unit pejabat bergeraknya sebagai surau bergerak.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, berkata surau bergerak menggunakan lori seberat 10 tan itu dilengkapi dengan penghawa dingin serta tempat wuduk dengan kapasiti tangki air 900 liter yang mampu menampung keperluan 600 jemaah.

“Pada satu-satu masa, surau bergerak ini boleh memuatkan 10 jemaah lelaki dan wanita sementara 20 jemaah lelaki lagi bagi ruang solat di bahagian luar lori. Kemudahan ini bakal memberi manfaat kepada pengunjung melibatkan program ad hoc seperti maraton dan sambutan Hari Kebangsaan.

“Surau bergerak ini boleh diparkir di kawasan tumpuan orang ramai seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang ditutup kepada kenderaan pada setiap Ahad,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancarannya di sini, hari ini.

FOTO: Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah meninjau surau bergerak yang menggunakan lori dan lengkap dengan penghawa dingin serta tempat wuduk yang mampu menampung keperluan 600 jemaah.

Pada majlis itu, turut dilancarkan kenderaan baharu bagi Skuad Penyelamat DBKL iaitu Rapid Response Vehicle (RRV) yang dilengkapi peralatan kecemasan seperti mesin pemotong besi, gergaji dan pakaian anti lebah.

Ia akan digunakan untuk memberi bantuan kecemasan bencana alam apabila terdapat pokok tumbang atau objek yang menghalang laluan awam selain menangani masalah gangguan binatang liar dan berbisa seperti ular, lebah dan tebuan.

“DBKL sudah ada persefahaman antara agensi penyelamat lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, sekiranya membabitkan ancaman haiwan berbisa dan tidak membabitkan nyawa, Skuad Penyelamat DBKL akan memberi bantuan segera,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini