KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Jabatan Penguatkuasaan telah melaksanakan operasi bersepadu untuk merobohkan struktur haram yang dibina di rezab jalan awam di sekitar kawasan Bukit Bintang kelmarin.
Operasi tersebut dijalankan bersama beberapa agensi lain termasuk Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal, Jabatan Integriti, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar serta Pejabat Cawangan Bukit Bintang.
Ia turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syarikat Bekalan Air Selangor, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), serta Alam Flora Sdn Bhd.
Dalam hantaran di Facebook, DBKL memaklumkan sembilan premis yang membina struktur tambahan sehingga menutup longkang dan laluan awam telah dirobohkan.
Selain itu, dua premis lagi dilaporkan membuka struktur tambahan mereka sendiri.
Sebanyak tujuh kes sitaan serta-merta turut dilaksanakan atas kesalahan meletakkan barangan di tempat awam di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Semua sisa struktur yang dirobohkan telah dilupuskan oleh DBKL selepas tamat operasi.
Barangan yang dikenakan tindakan sita telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk rekod dan dokumentasi.
DBKL menegaskan akan terus memantau dan mengambil tindakan di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti.
Untuk sebarang aduan, orang awam boleh menghubungi DBKL melalui laman sesawang rasmi mereka di [https://adukl.dbkl.gov.my/](https://adukl.dbkl.gov.my/).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.