Tumpuan :
Nasional

DBKL sita barang niaga diletak di kawasan awam

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan tanpa kompromi terhadap pihak yang masih meletakkan barang perniagaan di kawasan awam hingga mengganggu laluan.

Terbaharu, Jabatan Penguatkuasaan dan Pejabat Cawangan Titiwangsa DBKL menjalankan tindakan sitaan dan pindah halangan perniagaan di sekitar Jalan Ampang Kiri, Jalan Cemur dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (Bazar Sudirman), semalam.

DBKL memaklumkan, tindakan sitaan dan pindah halangan itu dilakukan mengikut Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan Parit Bangunan 1974.

“Tindakan diambil bagi memastikan kawasan awam sentiasa dalam keadaan teratur dan selamat.

“Antara barangan yang disita adalah kerusi dan meja plastik, kanopi dan beberapa peralatan diletakkan di pesiar kaki dan laluan awam.

“Barangan dan peralatan berkenaan dihantar ke Stor Sitaan DBKL Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk dokumentasi dan tindakan selanjutnya,” menurutnya dalam kenyataan di Facebook.

DBKL berkata, tindakan dan pemantauan berterusan akan dijalankan menerusi siri tindakan khas di semua 11 Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini