KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita barangan dan memindahkan halangan dibina peniaga dalam satu operasi di Jalan Imbi, Bukit Bintang di sini.
Dalam operasi dijalankan Jabatan Penguatkuasaan DBKL serta Pejabat Cawangan Bukit Bintang itu, lapan sitaan dan pemindahan halangan dijalankan.
DBKL dalam kenyataan berkata, antara barangan yang disita termasuk kerusi dan meja plastik, tong gas, kanopi, gerai keluli tahan karat dan peralatan yang diletakkan di laluan awam.
“Tindakan khas ini dijalankan mengikut peruntukan di bawah Seksyen 46(1) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.
“Barangan dan peralatan yang disita dihantar ke Stor Sitaan DBKL Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk dokumentasi dan tindakan selanjutnya,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, tindakan dan pemantauan berterusan akan dijalankan menerusi siri-siri tindakan khas di 11 parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.