Tumpuan :
Nasional

DBP setuju terjemah karya agung penyair Turkmenistan ke Bahasa Melayu

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersetuju untuk menterjemahkan beberapa karya agung penyair Turkmenistan yang terkenal, Magtymguly Pyragy dalam Bahasa Melayu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pyragy adalah seorang penyair yang komited memperjuangkan keadilan dan keamanan serta menghasilkan karya yang mencerminkan penentangan terhadap kerakusan dan penyalahgunaan kuasa.

“Saya dengan sukacita ingin mengumumkan bahawa DBP telah bersetuju dan sedang berusaha untuk menterjemahkan beberapa karya agung penyair ulung ini ke dalam Bahasa Melayu, supaya ia lebih dikenali di sini (Malaysia) dan memberi makna kepada kerjasama yang komprehensif dalam kalangan negara-negara Islam yang komited kepada pembangunan dan keamanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedow selepas mengadakan pertemuan dua hala, di sini hari ini.

Berdimuhamedow dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula semalam, iaitu lawatan pertamanya ke negara ini sejak dilantik sebagai Presiden Turkmenistan pada Mac 2022.

Mengulas lanjut, menurut Anwar, langkah terjemahan karya itu juga sebagai tanda penghormatan dan kekaguman Malaysia terhadap Turkmenistan serta kepemimpinan Presiden dan rakyatnya serta penghargaan kepada Pyragy, yang kini sedang diraikan sempena ulang tahun ke-300 kelahirannya.

“Saya amat terkesan dengan minat Presiden, bukan sahaja untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara, tetapi juga pandangannya yang menyeluruh mengenai pembangunan termasuk dalam aspek kebudayaan serta usaha beliau mempromosikan keamanan antarabangsa yang kami sokong sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, menerusi kenyataan bersama selepas pertemuan Anwar dan Berdimuhamedow, kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan meningkatkan kerjasama dua hala dalam bidang pengangkutan, kebudayaan, pendidikan, pelancongan dan sukan, yang akan menyumbang secara positif kepada pengukuhan hubungan kedua-dua negara.

Justeru, bagi mempromosikan hubungan antara rakyat, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk memperkukuhkan program pertukaran antara institusi pengajian tinggi dan pusat penyelidikan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini