comscore
Tumpuan :
Nasional

Delegasi Malaysia teruskan kajian asing kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya di Australia

KUALA LUMPUR: Kajian empirikal pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya masuk siri kedua menerusi lawatan delegasi Malaysia ke Australia, bermula 2 Jun hingga semalam.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, lawatan ke Australia susulan lawatan kerja ke Ottawa, Kanada bulan lalu.

Katanya, lawatan kerja kali ini disertai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran; Ahli Parlimen Selayang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, William Leong Jee Keen dan Ahli Parlimen Pendang yang mewakili blok pembangkang, Datuk Awang Hashim.

Selain itu, beberapa pegawai kanan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) serta Presiden Majlis Peguam Malaysia.

“Agenda kajian empirikal dimulakan dengan sesi perbincangan meja bulat bersama pakar anjuran bersama oleh BHEUU, JPM, Monash University Australia dan Universiti Islam Antarabangsa yang bertujuan untuk memudahcara dialog berkaitan struktur dan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang diamalkan di Malaysia dan Australia.

“Sesi yang dikendalikan oleh Profesor Marilyn Pittard, Dekan Interim, Fakulti Undang-Undang di Monash University turut disertai oleh seramai lebih daripada 50 pakar terkemuka dari Malaysia dan Australia sebagai ahli panel dan penceramah khas.

“Antaranya bekas Ketua Pendakwa Raya dan Pengarah Pendakwaan Awam Victoria, Paul Coghlan; pakar Perlembagaan Malaysia, Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz serta ahli akademik daripada beberapa universiti terkemuka Malaysia dan Australia,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Datuk Seri Azalina berkata, perbincangan sesi itu memberikan fokus kepada beberapa perkara utama berkaitan pengasingan peranan ini dan perbincangan mengenai keperluan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya di Malaysia.

“Sementara di Canberra, Australia, kami telah mengadakan perbincangan yang sangat bermanfaat dengan Timbalan Pengarah Pendakwaan Awam Australia, Mark de Crespigny, serta pegawai dari Pejabat Pengarah Pendakwaan Awam Australia.

“Kemuncak kepada lawatan ini adalah pertemuan saya dan delegasi dengan Peguam Negara Australia, Mark Dreyfus bagi sesi perbincangan dua hala berhubung sistem semasa yang diguna pakai di Australia serta memahami proses pendakwaan dan struktur Pejabat Pendakwaan Awam di Australia,” katanya.

Selepas itu, katanya beliau juga berkesempatan untuk bertemu dengan Menteri Komunikasi Australia, Michelle Rowland dan Timbalan Menteri Luar Negeri Australia, Tim Watts.

“Perbincangan dua hala ini tertumpu kepada pelbagai perkara yang bermanfaat bagi kedua-dua negara.

“Selain itu, delegasi Malaysia turut berpeluang mengadakan beberapa sesi dialog Reformasi Institusi bersama pelajar dan profesional Malaysia yang berada di Melbourne dan Canberra,” katanya.

Datuk Seri Azalina berkata, lebih 150 orang diaspora hadir ke sesi itu di mana mereka telah diberikan penerangan berhubung agenda reformasi institusi yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Madani termasuk kajian empirikal ini.

“Mereka juga diberikan peluang untuk bertukar-tukar pandangan dan berbincang dengan delegasi Malaysia.

“Lawatan kajian empirikal ini bukti jelas komitmen Kerajaan Madani dalam merealisasikan agenda reformasi institusi bagi memastikan tadbir urus negara terus dipertingkatkan untuk kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.

Untuk rekod, pada 8 Mei lalu, Datuk Seri Azalina mengetuai delegasi Malaysia menjalankan kajian itu di Ottawa bagi mengenal pasti model yang sesuai untuk negara selain inisiatif untuk mendapatkan keterangan secara terus dan sebagai rujukan amalan terbaik.

Pada Ogos 2023, beliau memaklumkan kerajaan akan menjalankan kajian empirikal komprehensif dalam tempoh setahun sebelum memuktamadkan cadangan pengasingan kuasa peguam negara dan pendakwa raya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini