comscore
Tumpuan :
Nasional

Delegasi wakil rakyat ke Mesir pamer sokongan isu Palestin

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: Lima Ahli Parlimen pelbagai parti mengadakan lawatan khas ke Mesir selama empat hari bagi mempamerkan sokongan penuh Malaysia terhadap isu Palestin.

Dalam kenyataan hari ini, Wisma Putra memaklumkan, lawatan khas sejak semalam hingga Sabtu ini diketuai Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dan disertai tiga Ahli Parlimen serta seorang Senator.

Delegasi tersebut terdiri daripada Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh (PKR), Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS), Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (UMNO) dan Senator Datuk Dr Mohd Hattta Md Ramli (AMANAH).

“Delegasi akan mengambil peluang membuat lawatan ke lintasan Rafah-Gaza, di mana bekalan kecemasan dan bantuan kemanusiaan daripada Malaysia disalurkan ke Gaza dengan kerjasama rapat bersama Kerajaan Mesir dan Ops Ihsan,” menurut kenyataan itu.

Antara program lain termasuk kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri Luar Mesir, Hamdi Loza, pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Bulan Sabit Merah Mesir (ERC), Dr Rami Al Nazer dan lawatan ke hospital seliaan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS).

Mengulas lanjut, menurut Wisma Putra, intipati perbincangan adalah mengenai kerjasama Malaysia untuk membantu rakyat Palestin di Gaza termasuk yang memerlukan rawatan perubatan di Mesir.

Acara simbolik penyerahan sumbangan rakyat Malaysia akan diberikan kepada ERC dan PRCS dengan masing-masing berjumlah AS$250,000 (RM1.198 juta) dan AS$500,000 (RM2.396 juta).

Untuk rekod, sejumlah 100 tan bantuan kemanusiaan dari Malaysia bernilai RM5.6 juta (AS$1.2 juta) telah tiba di Lapangan Terbang El-Arish, Mesir pada November dan Disember tahun lalu.

Barangan yang dihantar merangkumi ubat-ubatan, peralatan perubatan, makanan dan bekalan musim sejuk (selimut, khemah dan pakaian).

Bantuan kemanusiaan berkenaan dilaksanakan dengan sumbangan rakyat negara ini kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

Serangan berterusan Israel di Gaza sejak 7 Oktober tahun lalu mengorbankan puluhan ribu nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini