comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Demam Babi Afrika (ASF): 7 lagi ladang babi positif di Pulau Pinang

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang memasang tali penghalang selepas mengeluarkan arahan Perintah Larangan Pemindahan Binatang, Burung atau Karkas ketika tinjauan di sebuah ladang ternakan babi yang disyaki dijangkiti wabak demam babi Afrika (ASF) di kawasan Perkampungan Valdor, Sungai Bakap di sini. Kerajaan Pulau Pinang telah mengisytiharkan kejadian penyakit ASF sebagai bencana selepas menjangkiti tujuh buah ladang babi komersial setakat 13 Januari.

Oleh: Selwam Arjunan

NIBONG TEBAL: Wabak African Swine Fever (ASF) atau Demam Babi Afrika di Pulau Pinang semakin meluas dengan tujuh lagi ladang babi disahkan dijangkiti setakat hari ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata sebanyak 18 ladang babi komersial dilanda wabak ASF di tiga daerah di Seberang Perai, berbanding 11 ladang sebelum ini.

Katanya, 14 ladang di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dan dua ladang masing-masing di Daerah Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara, termasuk di Kampung Selamat, Tasek Gelugor yang disahkan positif pada hari ini.

“Kerajaan negeri telah mengenal pasti sebuah tapak tanah di kawasan jauh dari penempatan awam dan pembangunan untuk dijadikan tapak pelupusan babi.

“Langkah ini diambil bagi memastikan kerja-kerja pelupusan dapat dijalankan dengan lancar tanpa gangguan kepada orang awam,” dalam sidang media bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) di Valdor, di sini, petang tadi.

Katanya, tapak seluas 40 ekar milik kerajaan negeri itu diperuntukkan segera bagi memastikan aktiviti pelupusan dilakukan dengan teratur mematuhi protokol yang ditetapkan.

Ujarnya, daripada lebih 48,000 ekor babi yang dijangkiti ASF, lebih 4,200 ekor babi telah dilupuskan setakat ini.

Bagaimanapun, beliau menasihati orang awam tidak gusar dengan wabak zoonotik ini kerana ia tidak akan berjangkit kepada manusia.

Namun, beliau mengakui wabak itu menjejaskan kepentingan ekonomi, memandangkan permintaan tinggi buat daging babi dalam pasaran.

“Bagaimanapun, bekalan daging babi disahkan mencukupi untuk menampung keperluan rakyat menjelang sambutan Tahun Baru Cina.

“Keperluan itu dapat dipenuhi memandangkan masih terdapat ladang-ladang masih bebas penyakit. JPV juga mengesahkan daging babi di pasaran selamat dimakan tidak berjangkit kepada manusia,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau juga memaklumkan bahawa JPV mempertimbangkan bayaran pampasan kepada pengusaha ladang babi yang dijangkiti ASF dan terpaksa dilupuskan.

Sejurus pelupusan selesai permohonan pampasan akan dibawa ke Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk kelulusan.

Loading...
Terkini