PASIR MAS: Seorang lelaki sanggup berenang meredah arus banjir sejauh 300 meter dengan paras air mencecah lebih satu meter bagi memastikan 400 ekor kucing yang terperangkap di rumah perlindungan di Tok Uban, di sini, selamat dan mendapat makanan.
Pengasas Rumah Perlindungan Kucing, Khairul Nizam Mohd Arifin, 41, berkata air mula naik di premis berkenaan sejak Selasa lalu.
Katanya, rumah perlindungan itu mempunyai 400 kucing terbiar dan air naik mendadak sejak Selasa lalu sehingga mencecah paras 0.7 meter.
“Keadaan itu menyebabkan 200 kucing ditempatkan di dalam siling bangunan terbabit, manakala sebahagiannya lagi ditempatkan di bangunan terbiar bersebelahan.
“Sejak air naik, setiap hari saya akan ke sana dan memandangkan kami tiada bot, saya terpaksa berenang sejauh 300 meter bagi memberi makanan kepada kucing dan akan pulang semula ke rumah pada waktu petang.
“Selepas tiga hari terpaksa berenang setiap hari, semalam saya diberi sebuah bot oleh individu yang prihatin bagi kegunaan untuk ke rumah perlindungan kucing itu,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, keadaan air masih lagi tinggi namun trend semakin menurun dan dia yakin kesemua kucing termasuk yang berada di dalam siling adalah selamat.
“Namun bekalan makanan untuk kucing berkenaan hanya bertahan empat hari sahaja lagi memandangkan sebahagiannya rosak ditenggelami banjir.
“Bagi memastikan keadaan kucing selamat, saya turut membuka sedikit bumbung bagi membolehkan mereka keluar sekiranya paras air semakin meningkat.
“Setiap hari, saya akan pergi ke rumah kucing membabitkan perjalanan 20 kilometer (km) dari rumah saya di Kampung Gaung bagi memastikan keadaan semua kucing itu selamat,” katanya.
Jelasnya, rumah perlindungan kucing itu bernaung dibawah badan bukan kerajaan (NGO) dan kucing itu mula ditempatkan di lokasi berkenaan sejak Februari tahun ini.
“Semua kucing berkenaan adalah kucing terbiar yang dikutip di kawasan pembuangan sampah dan pasar-pasar dan kita mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu menyumbangkan makanan kucing,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.