PUTRAJAYA: Demi adik, seorang lelaki sanggup meredah hampir 600 kilometer dengan menaiki motosikal bagi menemaninya adiknya mendaftar di Universiti Utara Malaysia (UUM) semalam.
Penjual buah-buahan, Ee Tai Qing, 27, dari Sungai Udang, Melaka sanggup menunggang motosikal ke UUM bagi menemani adiknya, Ee Tai Zhi, 21, mendaftar sebagai pelajar baharu di universiti itu.
Kegigihan Tai Qing dikongsi di Facebook rasmi UUM serta mendapat perhatian pihak media.
Pengorbanan Tai Qing itu turut mendapat perhatian Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohd Foad Sakdan dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed yang menyantuni dia dan adiknya.
Menerusi gambar yang tular, Tai Qing menunggang motosikal jenis Honda Wave DX110 berwarna kuning.
Tai Qing berkata, dia memulakan perjalanan sejak Ahad lalu manakala adiknya menaiki bas dari Melaka selepas menerima tawaran mengikuti Program Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti di UUM.
Katanya, dia mengambil masa dua hari untuk sampai di UUM dan berhenti rehat pada sebelah malam untuk berehat.
Sementara itu, Tai Zhi berkata, dia berjanji akan memberikan fokus kepada pelajaran sebaik mungkin selepas kuliah bermula.
Katanya, dia tidak menduga mendapat pilihan program yang diminati dan ingin menimba pengalaman baharu di Lembah Sintok.
“Saya berjanji untuk memberi tumpuan penuh dan mengambil segala ilmu yang diajar pensyarah,” katanya yang dipetik melalui Facebook rasmi UUM.
Tai Zhi adalah antara 4,195 pelajar baharu UUM yang mendaftar semalam di UUM Sintok terdiri daripada pelajar tempatan dan antarabangsa yang mengikuti 48 program pengajian Sarjana Muda sesi 2024/2025.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa