comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

Demi cucu, atuk bina landasan kereta api sepanjang 500 meter

Oleh: Izzatie Rizan

ALOR GAJAH: Kalau dah kreatif, buat projek apa pun pasti berseni.

Kembali menetap di kampung halaman selepas lebih empat dekad berhijrah ke bandar, memberi idea kepada seorang lelaki yang sudah bergelar atuk untuk mencipta kenangan berbeza buat tiga cucunya ketika cuti sekolah.

Abdul Rahim Abdul hamid 49, menambat hati cucunya, dengan mencipta kereta api mini lengkap dengan rel di sekeliling rumahnya.

Menjengah ke kediamannya di sini, kereta api itu dilihat mengelilingi kawasan halaman rumah yang luas dan cantik, dihiasi rumput menghijau.

Begitulah gambarannya saat melihat projek kereta api ‘Tok D Garden Railway’ hasil rekaan atuk muda ini.

Menariknya, kereta api ini berfungsi dan boleh membawa seramai 14 penumpang dengan melalui landasan sepanjang 500 meter.

Berkongsi kepada Buletin TV3, Abdul Rahim atau lebih mesra sebagai Tok D berkata, projek berkenaan dimulakannya sejak Mei tahun lalu dan memakan masa setahun untuk disiapkan.

Dia yang sememangnya mahir dan berkecimpung dalam aktiviti alat kawalan jauh atau RC selama 20 tahun berkata, tiga gerabak kereta api itu dibeli dari luar negara.

Manakala landasan dibuat sendiri dengan dibantu isterinya, Jahzalina Md Joned, 50.

Lebih istimewa, setiap gerabak dinamakan sempena nama cucunya Maya dan Mawar.

“Saya dan isteri memang sukakan kereta api, kami sertai aktiviti RC dah lama, bermula dengan item yang kecil sehinggalah ke saiz ini.

“Lazimnya cucu saya didedahkan dengan kereta api mainan bersaiz kecil, dan projek ini memang saya dedikasikan kepada mereka supaya bila pulang ke kampung tidak main gajet, selain boleh mengembangkan kreativiti mereka dengan melakukan pelbagai aktiviti riadah bersama.

“Sebenarnya banyak kegunaan kereta api ini, bila cucu tak ada, ianya membantu kami mengangkat barangan juga bantu saya memberi makanan kepada ternakan itik kami,” katanya.

Bercerita lanjut ujarnya kereta api berkenaan dikawal menggunakan alat kawalan jauh yang bersambung dengan kepala kereta api.

Selain dapat mengawal kelajuan, alat kawalan itu turut mempunyai butang hon.

Ujarnya, pembinaan landasan adalah yang paling mencabar apabila terpaksa mengambil masa yang lama untuk meratakan tanah bagi membina rel di kawasan rumahnya seluas 0.2 hektar.

Kongsinya lagi, bukan hanya keseronokan yang ingin disajikan, sebaliknya ingin memberi pendedahan dan pengetahuan mengenai dunia RC yang sememangnya menjanjikan kepuasan kepada penggemarnya.

“Sebenarnya saya langsung tak ada pengetahuan untuk mengimpal tapi saya terpaksa belajar untuk siapkan rel kereta api ini.

“Bagi saya mungkin ada yang cakap ianya hobi kayangan, tapi yang masyarakat tak tahu dalam proses pembuatan itu, terdapat banyak ilmu yang boleh dipelajari. Ini termasuklah pemilihan batu, kayu mahupun besi yang sesuai untuk projek ini. Jadi inilah yang saya nak dedahkan dan kongsikan dengan orang sekeliling.” katanya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini