comscore
Tumpuan :
Nasional

Dengar Apa Azi Ingin Beritahu-Ibu

Foto: NSTP

TUMPAT: Keluarga ejen jualan kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim, 36, yang ditemukan selamat selepas lebih dua minggu diculik meminta diberi ruang untuk bertenang.

Menerusi rakaman suara dalam aplikasi WhatsApp, ibunya memberitahu sudah tiada apa-apa lagi yang ingin diberitahu dan meminta supaya menunggu sahaja mangsa dibawa pulang ke rumah jika ingin mengetahui perkara sebenar.

“Sudah tak ada apa yang ingin diberitahu.

Tunggu sahaja dia (Azi) balik, pakat dengar apa yang dia ingin beritahu,” katanya.

Pengesahan untuk mengetahui sama ada keluarga sudah dapat menghubungi wanita itu juga gagal kerana masing-masing bertindak mengunci mulut, malah usaha pengamal media untuk ke rumah mangsa di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, di sini juga gagal berikutan notis larangan dibenarkan masuk turut ditampal di pagar.

Rosnazirah yang dilarikan sekumpulan lelaki dari rumahnya pada 13 September lalu berjaya ditemukan pihak berkuasa dan mangsa dibawa pulang ke negara ini kelmarin.

Dalam sidang media Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, semalam, beliau memaklumkan mangsa berada di Kuala Lumpur dalam keadaan baik dan akan dibawa pulang tidak lama lagi.

Sementara itu, rakan mangsa yang ingin dikenali sebagai Rina, 30-an, berkata berita mengenai Rosnazirah sangat ditunggu setiap hari dan sebaik mengetahui dia berjaya ditemukan, ia sangat menggembirakan.

Rina meluahkan rasa syukur dengan penemuan rakan perniagaannya itu dan menganggap doa semua rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan Rosnazirah termakbul.

“Kita tidak berada di tempat dia sepanjang diculik dan mungkin Azi mengalami trauma namun saya mengharapkan dia akan kembali dalam bidang perniagaan.

“Kehilangannya selama ini sangat dirasai kerana Azi banyak memberi kata-kata motivasi kepada kami dan rakan lain terutama yang baru berjinak dalam bisnes jualan produk ini.

“Biarlah dia mengambil masa selama mana yang diperlukan agar kembali tenang seperti sebelum ini dan saya harap dapat bertemunya sebaik dia dibawa pulang ke rumah nanti,” katanya.–BERITA HARIAN

Loading...
Terkini