comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ‘Depan rumah dah jadi gaung’

Keadaan di kawasan kejadian tanah runtuh di hadapan sebuah rumah di Jalan Wawasan 3/4 Pusat Bandar Puchong. FOTO: NSTP

SERDANG: Pemilik rumah yang terbabit dengan kejadian tanah runtuh di Taman Wawasan, Puchong di sini, malam tadi memberitahu sebelum kejadian beliau terdengar bunyi pokok patah disusuli dentuman.

Pesara, Abd Rahim Md Ali, 72, berkata, ketika itu beliau sedang bersiap untuk menunaikan solat Maghrib.

“Saya menjenguk melalui tingkap bilik di tingkat atas dan nampak pokok tumbang lalu segera turun.

“Isteri beritahu ada tanah runtuh dan saya sangkakan hanya pokok tumbang. Saya buka saja pintu nampak depan rumah dah jadi gaung, terus kami sekeluarga lari selamatkan diri ikut pintu belakang,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian, hari ini.

Tambahnya, kereta yang diparkir tepi jalan turut terjunam dalam gaung.
Beliau turut mendengar jeritan beberapa jiran sebelum mereka sekeluarga keluar menyelamatkan diri.

Beberapa minit kemudian, katanya, pasukan bomba dan polis tiba di lokasi sebelum mereka diarah mengosongkan rumah buat sementara kerana bimbang berlaku runtuhan susulan.

Abd Rahim dan keluarganya kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

“Saya tiada rumah lain nak pergi, inilah satu-satunya rumah saya dan saya harap pihak berkaitan dapat baik pulih runtuhan berkenaan,” katanya.

FOTO: NSTP

Tinjauan mendapati kerja penyelenggaraan dan baik pulih di kawasan terjejas runtuhan giat dijalankan.

Malam tadi, seramai 29 penghuni di sembilan rumah di Taman Wawasan diarah berpindah segera sebagai langkah keselamatan kerana bimbang berlaku pergerakan tanah.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan dilaporkan berkata, polis menerima laporan kejadian jam 7.30 malam  susulan hujan lebat sejak jam 5.45 petang  menyebabkan berlaku pergerakan tanah.

Kejadian turut menyebabkan empat kenderaan tertimbus namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini