comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Dera budak 4 tahun hingga maut, ibu kandung, bapa tiri ditahan

 

ISKANDAR PUTERI: Polis menahan pasangan suami isteri  kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun sehingga meninggal dunia, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, suspek wanita adalah ibu kandung manakala suspek lelaki bapa tiri mangsa.

Kedua-duanya ditahan di rumah mereka dekat Jalan Aman, Skudai, jam 1.30 tengah hari.

Katanya, terdahulu, mangsa dibawa ke Zon Kecemasan, Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru kira-kira jam 8.20 pagi sebelum didapati meninggal dunia sebaik tiba.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, belakang telinga, perut serta kaki dan suami isteri yang masing-masing berusia 20-an mengakui terbabit dalam kes berkenaan.

“Kita masih menyiasat bagaimana mereka mendera, tetapi siasatan awal mendapati mereka menggunakan tangan dan penyangkut baju,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rahmat berkata, polis  merampas telefon bimbit dan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memukul suspek.

Beliau berkata, suspek lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan kini direman  tujuh hari bermula hari ini.

“Ibu mangsa yang juga suri rumah pula direman dua hari sehingga esok.

“Mangsa mempunyai seorang adik lelaki berusia enam bulan dan ibu mangsa juga sedang hamil dua bulan,” katanya.

Rahmat berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Penganiayaan, Pengabaian, Pembuangan atau Pendedahan Kanak-kanak).

Katanya, polis masih mengesan saksi serta bukti lain bagi membantu siasatan.

Loading...
Terkini