Tumpuan :
Dunia Seni

deVokalis UPSI koir ungguli tiga kategori di MCE ICF 2024


KUALA LUMPUR: Kumpulan deVokalis UPSI koir dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta sejarah dalam dunia muzik koral Malaysia apabila memenangi tiga pingat emas, dua pemenang kategori dan satu anugerah khas pada Malaysian Choral Eisteddfod International Choir Competition (MCE ICF) 2024 di Kuala Lumpur Performing Arts Center (KLPAC) yang berakhir, semalam.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat di atas pencapaian ini.

“Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) sentiasa melahirkan pelajar yang kreatif dan berketrampilan dalam seni persembahan seperti nyanyian, tarian dan teater, ” katanya.

Kumpulan deVokalis berjaya menonjolkan prestasi luar biasa dalam kategori Pop Vocal Ensemble apabila memenangi anugerah pemenang kategori dan pingat emas serta anugerah khas Outstanding Malaysian Choir Award.

Kumpulan ini mempersembahkan lagu “Believer” yang digubah oleh Paul Langford dan “Love Runs Out” gubahan Mark Brymer dengan menampilkan persembahan bertenaga dan penuh emosi yang memukau para juri dan penonton.

Dalam kategori Vocal Ensemble, deVokalis turut bergelar pemenang kategori dan pingat emas dengan persembahan “Puteri Santubung,” lagu rakyat Malaysia, lagu dan lirik oleh Madzhi Johari, digubah oleh Allahyarham Mohd Amri Mohd Zin serta lagu rakyat Indonesia, “Hela Rotan,” yang digubah oleh Ken Steven.

Bagi kategori Mixed Choir, deVokalis merangkul emas ketiga menerusi persembahan “Sing Gently” yang digubah oleh Eric Whitacre dan “Dance” oleh Robert T. Gibson.

Untuk rekod, deVokalis terdiri daripada 33 pelajar dari pelbagai program iaitu Diploma Muzik, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Muzik, Ijazah Sarjana Muda Tari serta Sarjana Muzik.

Pertandingan ini diadili oleh 20 juri profesional yang menilai persembahan 166 kumpulan koir termasuk dari Indonesia, Filipina, Sri Lanka dan Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 
Loading...
Terkini