TANJUNG MALIM: Kumpulan koir Devokalis, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta kenangan manis apabila meraih dua pingat emas sempena International Bandung Choral Festival 2023 di Bandung, Indonesia baru-baru ini.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff melahirkan rasa bangga atas kemenangan itu yang berjaya mengharumkan nama UPSI.
“UPSI memiliki ramai pelajar yang berbakat dalam muzik yang sentiasa membuat persembahan yang mengagumkan penonton,” katanya.
Bagi kategori mixed voices, lagu “Ballad to the Moon” dan “Nuansa Ulek Mayang” membawa tuah kepada kumpulan itu untuk meraih medal emas.
Kumpulan Devokalis yang diketuai konduktor koir, Lilis Syafiza Mohd Yatim dan Monica Kong Lee Ping itu juga meraih medal emas kategori Vocal Ensemble apabila berjaya memukau juri dengan persembahan lagu “Seloka Tiga Kupang” dan “Stand Up”.
Md Amin turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin yang menyokong dan mendanai sumbangan bagi UPSI menyertai festival berprestij yang disertai sembilan negara iaitu Malaysia, Austria, Kemboja, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Thailand, Amerika dan Indonesia.
Menurut Presiden Bandung Choral Society, Tommyanto Kandisaputra program International Bandung Choral Festival itu pertama kali diadakan pada tahun 2011, kemudian tahun 2022.
“Festival ini berlangsung secara bergilir di pelbagai kota Indonesia sekaligus menjadi kebanggaan dan dinantikan oleh komuniti paduan suara Indonesia dan dunia.
Katanya, setiap tahun penganjur berjaya menarik lebih banyak penyertaan festival yang memberi fokus kepada pendidikan, kolaborasi dan membangun persahabatan antara peserta.
“Kami mengucapkan setinggi terima kasih kepada peserta paduan suara, baik penyanyi dan konduktor, juri, serta seluruh tenaga sukarela serta Yayasan Universitas Katolik Parahyangan yang bekerja keras menjayakan festival ini” katanya.