comscore
Tumpuan :
Nasional

Dewan Negara lulus pindaan ke atas Akta Polis, Agong Pesuruhjaya Kehormat

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

KUALA LUMPUR: Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Polis (Pindaan) 2024.

RUU itu diluluskan dengan undian suara selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan dibahas 15 orang senator.

Shamsul Anuar berkata Akta Polis (Pindaan) 2024 bertujuan mengadakan peruntukan bagi Yang di-Pertuan Agong sebagai Pesuruhjaya Kehormat bagi memberi penghormatan dalam hal ehwal adat istiadat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, peruntukan itu juga bagi mengiktiraf kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara di bawah Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan itu juga mengiktiraf kuasa Agong untuk melantik Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di bawah Perkara 140(4) dengan syor Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) selepas mempertimbangkan nasihat Perdana Menteri.

Shamsul Anuar berkata tidak timbul isu Yang di-Pertuan Agong dihadap ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk dibicara atas kes-kes berkaitan.

Ini kerana kuasa perintah dan kawalan pasukan polis seperti diperuntukkan dalam Akta Polis 1967 adalah bawah kuasa Ketua Polis Negara.

Menjawab mengenai tindakan menaikkan denda kerana menghalang tugas polis di atas jalan awam seperti tercatat di bawah Seksyen 21(2), Shamsul Anuar berkata ia adalah bersesuaian dengan keadaan semasa.

Pindaan itu menyaksikan kadar denda dinaikkan daripada RM200 hingga RM10,000 dan penjara dari tiga bulan ke dua tahun.

“Kadar ini adalah selaras dengan Seksyen 186 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menghalang kakitangan awam daripada melaksanakan tugas mereka.”

Menurut Shamsul Anuar, ia bertujuan memberi kesedaran kepada orang awam bahawa menghalang tugas polis bukan sahaja membahayakan anggota polis malah subjek dan aset berharga yang diiringi mereka.

Katanya, selain bertugas mengiringi tokoh penting, polis juga mengiringi aset berharga seperti wang tunai dari Bank Negara Malaysia dan bahan bercetak penting dan dikategorikan sebagai rahsia seperti soalan peperiksaan.

Jelasnya, berdasarkan laporan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Polis Trafik terdapat 1,366 kemalangan membabitkan anggota polis bertugas dari tahun 2018 hingga 2023.

Katanya atas sebab itu, kenaikkan kadar denda itu perlu dilihat sebagai satu bentuk pencegahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini