comscore
Tumpuan :
Dewan Rakyat

Dewan Rakyat: 38 kes berkaitan diesel bersubsidi nelayan direkodkan tahun ini

Oleh Syafiqah Damanhuri

KUALA LUMPUR: 38 kes berkaitan diesel bersubsidi nelayan direkodkan pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin, berkata ia melibatkan nilai kerugian RM435,567.

“Berdasarkan statistik tindakan kes KPDN, APMM dan LKIM, sebanyak 70 tindakan kes melibatkan kesalahan berkaitan diesel bersubsidi direkodkan dengan nilai RM45,850 pada tahun 2022, manakala 38 kes dengan nilai RM435,567.20 pada tahun 2023.

“Berdasarkan jumlah kesalahan diesel subsidi nelayan nilai ketirisan subsidi 2022 dianggarkan bernilai RM745,850 berbanding dengan nilai subsidi ditanggung kerajaan yang juga RM1.84 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal.

Tambah beliau, kementeriannya turut meletakkan syarat supaya nelayan perlu mengisytiharkan hasil pendapatan sebelum membuat pembelian minyak bersubsidi menerusi e-perisytiharan.

Ia sebagai satu daripada langkah memastikan bantuan subsidi yang disediakan oleh kerajaan digunakan untuk aktiviti penangkapan ikan.

Pihaknya juga menjalankan pemantauan berterusan terhadap penyaluran minyak diesel bersubsidi nelayan agar tidak berlaku ketirisan dalam perbelanjaan Kerajaan.

Tindakan penguatkuasaan itu melibatkan beberapa jabatan dan agensi penguatkuasaan.

Loading...
Terkini