comscore
Tumpuan :
Nasional

Dewan Rakyat kenang nasib kanak-kanak Gaza 

Foto: Reuters

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat mengenang penderitaan ratusan ribu kanak-kanak di Semenanjung Gaza, bersempena Hari Kanak-Kanak Sedunia yang disambut hari ini.

Menurut Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, pada masa ini seluruh dunia begitu terkesan dengan konflik Palestin-Israel yang semakin meruncing dan memasuki hari ke-45.

“Sehingga hari ini, lebih 700,000 kanak-kanak di Semenanjung Gaza kehilangan tempat tinggal, lebih 4,600 orang telah kehilangan nyawa dan hampir 9,000 orang lagi cedera.

“Marilah kita mendoakan agar semua kanak-kanak khususnya yang berada di Semenanjung Gaza diberikan perlindungan daripada sebarang bentuk kezaliman,” katanya sebelum sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat dimulakan pagi ini.

Terdahulu, Johari berkata, tarikh hari ini penting untuk semua pihak memperbaharui tekad melindungi hak kanak-kanak berdasarkan Konvensyen Hak Kanak-kanak pada tahun 1995 terutama berkaitan dengan hak kanak-kanak iaitu kelangsungan hidup, perlindungan, pembangunan serta penyertaan kanak-kanak.

“Ahli yang berhormat, marilah bersama-sama kita lindungi kanak-kanak agar mereka membesar dalam keadaan yang sejahtera, selamat dan sihat.

“Justeru, saya mengingatkan bukan saja kepada ahli yang berhormat, malah kepada semua pemegang amanah termasuk ibu bapa, penjaga, pendidik, sektor korporat dan awam serta masyarakat seluruhnya agar sentiasa menjalankan tanggungjawab dalam memastikan mereka dapat membesar bebas daripada diskriminasi, keganasan dan eksploitasi dalam suasana yang selamat dan sejahtera.

“Selamat Hari Kanak-Kanak Sedunia saya ucapkan,” katanya.

Sempena memperingati golongan itu, Parlimen Malaysia mengambil inisiatif mengajurkan satu pameran Hari Kanak-Kanak Sedunia di Lobi Utama bermula 11 pagi manakala sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia diadakan di Foyer Parlimen Malaysia,1 tengah hari, hari ini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini