comscore
Tumpuan :
Dewan Rakyat

Dewan Rakyat: Kerajaan lulus peruntukan RM300 juta selesaikan krisis air Sabah

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

KUALA LUMPUR: RM300 juta diluluskan kerajaan tahun lalu secara pinjaman untuk menyelesaikan isu bekalan air di Sabah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, berdasarkan keputusan jemaah menteri pada 27 September tahun lalu itu, empat projek baharu juga telah diluluskan di bawah Rolling Plan Keempat, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12)  berjumlah RM 200 juta bagi penyelesaian jangka pendek di negeri itu.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang ingin tahu status bantuan kerajaan persekekutuan kepada kerajaan negeri sabah dalam penyelesaian jangka pendek dan panjang berhubung isu air di negeri itu.

“Kementerian juga telah memohon penyelarasan semula kos kepada kementerian ekonomi bagi tambahan peruntukan sebanyak RM 100 juta berdasarkan kelulusan jemaah menteri tersebut. Sukacita dimaklumkan kelulusan telah pun diperolehi daripada kementerian ekonomi dan  kementerian akan memastikan projek yang diluluskan dipantau secara berkala dengan mengadakan lawatan kerja dan mesyuarat di tapak oleh agensi yang bertanggungjawab”, katanya.

Selain itu, peruntukan sebanyak RM 163.55 juta bagi projek sambungan juga telah diluluskan.

Bagi penyelesaian jangka panjang pula, kerajaan negeri jelas beliau boleh memohon di bawah rolling plan akan datang berdasarkan perancangan projek dan keperluan bagi menyelesaikan isu bekalan air di negeri itu.

Menurut beliau, peruntukan yang diluluskan di Sabah ketika ini adalah lebih menjurus kepada kerja pembaikan dan penggantian paip.

“Sebab Sabah ini, salah satu cabarannya adalah air tidak terhasil (NRW) yang agak tinggi, lebih 50 peratus, sebab itu, keutamaan kita adalah menggantikan paip yang mana kita akan berikan secara geran dan melaksana secara bersama dengan Sabah.” ujarnya.

Dalam masa sama kerajaan negeri juga sedang berusaha mengurangkan kadar NRW  bagi memastikan masalah bekalan air di negeri itu dapat diatasi selain menjamin bekalan air bersih serta mengelakkan kes kecurian bekalan air.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini