comscore
Tumpuan :
Nasional

Dewan Rakyat lulus pindaan Akta 458

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Juruukur Tanah Berlesen (Pindaan) 2024 diluluskan di Dewan Rakyat hari ini, selepas Akta Juruukur Tanah Berlesen 1958 (Akta 458) tidak pernah dipinda sejak digubal pada 1958.

RUU itu diluluskan selepas mendapat sokongan Ahli Parlimen melalui undian suara pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pindaan itu bertujuan menambah baik dan memperkasa Akta 458, selari dengan peredaran masa dan kemajuan negara.

Beliau turut menyifatkan perkara itu sebagai bersejarah, memandangkan Akta 458 tidak pernah dipinda walaupun bidang ukur geomatik sudah mengalami perkembangan teknologi pesat dan istilah baharu berkaitan diperkenalkan serta diguna pakai secara universal.

“RUU ini merangkumi 15 fasal, membabitkan pewujudan dua seksyen baharu, pindaan ke atas 9 seksyen sedia ada dan satu jadual, selain penggantian ke atas satu seksyen serta satu peruntukan peralihan.

“Ia meliputi empat skop iaitu pengukuhan akta melalui peruntukan baharu, selaras keperluan dan kehendak semasa serta perkembangan profesion juruukur tanah berlesen (JTB).

“Perluasan skop kerja JTB dan kuasa Lembaga Jurukur Tanah (LJT) dalam bidang ukur geomatik selain daripada bidang ukur hakmilik, penambahan kadar denda bagi kesalahan tatalaku profesional JTB serta individu bukan JTB.

“Selain itu, pemansuhan istilah lama, penambahan definisi dan tafsiran baharu serta pindaan kecil yang signifikan,” katanya dalam kenyataan sejurus RUU itu diluluskan.

Beliau berkata, menerusi pindaan itu, JTB diperuntukkan kuasa untuk melaksanakan pelbagai kerja pengukuran dalam disiplin ukur geomatik, berasaskan kepada teknik pengukuran tepat, mengikut datum pengukuran diiktiraf Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Selain itu, katanya, ia turut mengiktiraf penggunaan singkatan ‘LSr’ yang membawa maksud ‘Land Surveyor’ bagi juruukur tanah berdaftar yang akan dikawal selia LJT serta membolehkan peranan JTB diiktiraf seperti kumpulan profesional lain.

“Bagi mencegah JTB melakukan kesalahan profesional semasa melaksanakan kerja ukur hakmilik dan geomatik, kadar denda boleh dikenakan ke atas JTB juga dipinda dan dinaikkan daripada RM500 kepada maksimum RM100,000.

“Kenaikan ini setara kadar denda dikenakan badan profesional lain serta bersesuaian dengan situasi semasa memandangkan kadar sedia ada tidak pernah dinaikkan sejak 1958,” katanya yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa.

Mengulas lanjut, katanya, satu seksyen baharu turut diwujudkan, selaras kemajuan teknologi dan pendigitalan serta bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan.

Beliau berkata, Seksyen 19A diperkenalkan untuk membolehkan apa-apa rekod, data ukur atau dokumen dikehendaki di bawah Akta 458, dikemukakan melalui perantara elektronik atau dihantar secara elektronik.

“Pindaan ini adalah signifikan dengan kemajuan terkini dalam bidang digital serta dapat menggalakkan pengurusan masa dan sumber yang cekap.

“Kementerian yakin pindaan ini dapat memberi impak positif melalui peningkatan profesionalisme dan kemajuan kerjaya JTB, meningkatkan perlindungan ke atas hak dan kepentingan pengguna perkhidmatan JTB.

“Selain itu, ia bagi memastikan perundangan berkaitan bidang ukur geomatik di negara ini selari peredaran masa serta kemajuan teknologi di peringkat global,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini