comscore
Tumpuan :
Nasional

Dewan Rakyat: Penjelasan jualan saham MAHB antara tumpuan hari ini

Dewan Rakyat di Parlimen.-Foto Ihsan Parlimen Malaysia

KUALA LUMPUR: Penjelasan mengenai penjualan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) antara perkara yang menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di portal Parlimen, soalan itu diajukan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) kepada Perdana Menteri pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Mohd Shahar meminta Perdana Menteri menyatakan penjelasan terhadap keputusan konsortium syarikat pelaburan berkaitan kerajaan terhadap penjualan saham MAHB itu.

Pada sesi sama, Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) meminta Perdana Menteri menyatakan strategi kerajaan susulan kedudukan Malaysia jatuh ke tangga ke-34 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2024.

Pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan pula, Manndzri Nasib (PN-Tenggara) meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan bentuk bantuan yang disediakan kepada pembeli rumah yang berdepan masalah projek sakit khususnya projek perumahan di bawah inisiatif perumahan rakyat.

Selain itu, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) meminta Menteri Kesihatan menyatakan bilangan kes yang diterima menerusi Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental sehingga kini, serta tindakan susulan yang diambil untuk membantu golongan yang memerlukan.

Selesai sesi itu, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan menyambung semula perbahasan bagi Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2024 untuk bacaan kali kedua daripada Menteri Sumber Manusia.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini