comscore
Tumpuan :
Nasional

Dewan Rakyat zahir takziah atas pemergian Mutang Tagal, Joseph Kurup

Oleh: Fahiz Ariff, Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Rakyat yang bermula hari ini dimulakan dengan bertafakur selama seminit bagi menghormati dan memperingati pemergian Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal.

Menurut, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, mendiang adalah seorang pemimpin yang komited dalam usaha mereformasikan institusi Parlimen dan amat prihatin akan kebajikan rakyat.

“Kita turut kehilangan seorang lagi tokoh politik iaitu Tan Sri Joseph Kurup telah meninggal dunia pada Rabu, 17 April 2024.

“Mendiang merupakan mantan Ahli Dewan Rakyat bagi kawasan Pensiangan dan pernah menjadi Anggota Pentadbiran Persekutuan di beberapa kementerian,” katanya pada awal sesi Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Mutang yang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-20 pada 19 Februari lalu, meninggal dunia di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur pada usia 69 tahun.

Beliau merupakan Orang Ulu yang pertama memegang mandat tersebut menggantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meletak jawatan susulan dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 26 Januari lepas.

Tan Sri Joseph Kurup pula meninggal dunia pada 17 April lalu pada usia 79 tahun.

Dalam pada itu, Johari turut memberitahu, takwim sidang dewan rakyat yang akan datang telah diubah kepada suatu tarikh.

Ia setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju supaya Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas Dewan Rakyat diubah kepada suatu tarikh baharu.

“Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas Dewan Rakyat diubah kepada suatu tarikh baharu iaitu mulai 14 Oktober hingga 12 Disember selama 35 hari selaras dengan Peraturan Mesyuarat 1 1 (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Notis mengenai perubahan tersebut dihantar kepada semua Ahli Yang Berhormat pada Jumaat, 14 Jun 2024,” jelasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini