comscore
Tumpuan :
Nasional

Dewan Ulama PAS Gesa Kerajaan Kawal Budaya Hedonisme

Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Ahmad Yahya ulas isu penganjuran konsert artis barat.

KUALA LUMPUR: Dewan Ulama PAS mengulangi gesaan supaya kerajaan mengambil berat penganjuran konsert dan penularan budaya hedonisme dalam negara ketika ini.

Ketua, Datuk Ahmad Yahya, berkata penganjuran konsert artis Barat mahupun tempatan yang berhibur di luar batasan agama sememangnya merosakkan pemikiran masyarakat khususnya golongan muda.

“Sewajarnya pasca pandemik COVID-19 yang sedang dilalui ini, dijadikan iktibar supaya kita lebih berhati-hati dalam setiap tindakan agar tidak melebihi sempadan yang ditetapkan syarak.

“Pembawaan artis-artis luar negara, apatah lagi dengan imej pendukung tegar lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dikendong bersama akan memberikan kesan buruk kepada masyarakat dan golongan muda.

“Keterlibatan artis tempatan yang membawa contoh tidak baik dalam program-program dalam negara juga wajar dikekang dengan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut taksiran Dewan Bahasa dan Pustaka, hedonisme membawa maksud pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup.

Sebelum ini, penganjuran konsert penyanyi antarabangsa, Billie Eilish di Kuala Lumpur menyebabkan segelintir badan bukan kerajaan (NGO) tidak senang kerana mendakwa Billie mempunyai kaitan dengan LGBT.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, pembabitan agensi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) seolah-olah sekadar cukup syarat sahaja.

Malah, adalah tidak wajar jika pandangan serta tegahan mereka ini, tidak didengari oleh pihak jawatankuasa berkenaan.

Ahmad berkata, lebih membimbangkan apabila penganjuran konsert itu berlaku ketika Hari Kebangsaan hampir tiba dan dalam keadaan umat Islam baru saja menyambut Maal Hijrah 1444H.

“Justeru, Dewan Ulama PAS Pusat menggesa Kementerian Komunikasi dan Multimedia supaya campur tangan dan lebih bertegas terhadap garis panduan PUSPAL.

“Bertindak tegas hari ini atau tunggu kerosakan ‘memakan’ tiang seri negara dan agama pada masa akan datang,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini