KUALA LUMPUR: Diana Danielle membuat kejutan apabila mengumumkan mahu memfailkan perceraian terhadap suami, Farid Kamil.
Aktres jelita itu mengumumkan perkembangan mengejutkan itu melalui hantaran Instagram Story (IGs), malam ini.
“Saya sudah memutuskan secara rasmi untuk berpisah dengan suami. Saya juga akan memfailkan cerai.
“Tidak akan ada sebarang penjelasan mengapa perceraian ini terjadi. Mungkin seperti biasa dia (suami) akan jelaskan bersama jambangan bunga, cincin dan janji kosong.
“Semoga hidup lebih baik,” luahnya melalui entri berkenaan.
Pada hantaran berikutnya, pelakon Imaginur itu turut meminta Farid supaya tidak memujuk untuk mengubah fikiran.
“Oh dan jangan pujuk,” katanya.
Pada masa sama, Diana meninggalkan kapsyen dalam hantaran Instagram (IG) seolah-olah sudah bertekad mahu berpisah buat kali kedua.
“Rujuk bukan untuk semua, lepaskan saya… Terima kasih,” katanya.
Sebelum ini, selepas melalui krisis rumah tangga berpanjangan, Farid dan Diana sah bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu. Namun, mereka rujuk sebulan kemudian.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora yang berusia sembilan tahun.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.