comscore
Tumpuan :
Nasional

Diperdaya pakej haji RM25,000, wanita buat laporan polis 

Rose membuat laporan di balai polis Seksyen 9 Shah Alam selepas diperdaya pakej haji bayaran rendah oleh sebuah syarikat pelancongan pada Mei lalu. Foto Ihsan pembaca.

PUTRAJAYA: Seorang wanita yang juga mangsa penipuan haji membuat laporan di balai polis Seksyen 9, Shah Alam hari ini selepas diperdaya sebuah agensi pelancongan baru-baru ini.

Pekerja swasta yang hanya ingin dikenali sebagai, Rose, 50-an dari Klang, Selangor berkata, beliau membuat laporan bagi dirinya dan kakaknya yang hanya mahu dikenali sebagai Zack berusia, 56, tahun selepas diperdaya oleh seorang wanita yang dikenali juga pengendali sebuah agensi pelancongan di negara ini.

Menurutnya,beliau turut dimaklumkan rakan kenalan wanita yang turut serta bersamanya ketika menyertai pakej itu juga akan membuat laporan di balai polis di Kedah esok.

Katanya,selepas hampir dua minggu pulang ke tanah air baharulah dia dapat kuatkan semangat untuk membuat laporan ke atas perkara yang menimpa dirinya itu.

“Saya mengambil tempoh panjang untuk bertenang dan selepas stabil baharulah kuatkan semangat untuk membuat laporan polis ,”katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 27 Mei lalu media melaporkan, niat tiga wanita mengerjakan haji musnah selepas individu yang menawarkan pakej haji rendah RM25,000 dengan menyediakan kemudahan pengangkutan persendirian,visa haji ‘Nusuk’ dan tempat tinggal di hotel lima bintang berhampiran Masjidilharam lesap tanpa dikesan.

Mereka bertolak ke Jeddah pada 9 Mei lalu dengan penerbangan AirAsia dan balik semula ke Malaysia pada 19 Mei lalu selepas individu yang menguruskan perjalanan mereka ke Makkah tidak dapat dihubungi ketika tiba di Lapangan Terbang Jeddah.

Menurut sumber, individu yang menguruskan pakej haji itu pernah didakwa di Mahkamah Selayang pada 2023 kerana disyaki memperdaya rakyat Malaysia menerusi modus operandi sama.

Individu berkenaan juga sering menggunakan gelaran ‘Datin’ bagi mengaburi dan menarik perhatian orang ramai untuk menyertai pakej dianjurkannya.

Rose berkata, beliau berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dan mengenakan tindakan undang-undang ke atas individu berkenaan.

Menurutnya, dia hampa kerana hasrat ingin menunaikan haji musnah selepas bergolok bergadai barangan kemas termasuk menjual sebuah kereta bagi mencukupkan jumlah bayaran pakej haji berjumlah RM25,000 yang ditawarkan.

Katanya, pada asalnya dia berniat mengerjakan haji untuk berdoa di depan Kaabah agar anaknya yang berdepan penyakit kronik diberi kesembuhan segera namun tidak menyangka berdepan detik hitam ini.

“Selepas menyedari ditipu kami bertiga telah membuat laporan dengan pihak berkuasa Arab Saudi di Jeddah dan mereka berjanji akan membantu menyelesaikan masalah itu sekiranya dapat menjumpai wanita berkenaan”.

“Sebagai merawat duka, sepanjang berada di Tanah Suci kami sempat mengerjakan umrah dengan mengeluarkan duit sendiri untuk membayar hotel, membeli makanan dan kos tambang pengangkutan dan tiket penerbangan pulang ke Malaysia berjumlah RM1,600 setiap seorang ,”katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini