comscore
Tumpuan :
Nasional

Dipukul kerana menghantar video lucah kepada seorang wanita – Polis

Foto tular

PASIR GUDANG: Susulan satu rakaman video tular yang mempamerkan dua lelaki dipukul dengan cota, polis menafikan ia berpunca daripada isu pembayaran gaji.

Siasatan polis mendapati kejadian itu berpunca daripada ketidakpuasan hati berikutan perbuatan kedua-dua mangsa menghantar video lucah kepada seorang wanita.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, polis juga mendapati kejadian itu bukan baharu sebaliknya berlaku pada 6 November tahun lalu dan ia tular di portal rasmi Majoriti selain di akaun Instagram majoritiofficial baru-baru ini.

Menurutnya, video berdurasi seminit 17 saat disertakan dengan kapsyen ‘dipercayai sebab minta gaji, pekerja Pakistan dipukul guna cota sampai berbirat di Pasir Gudang’.

Katanya, siasatan mendapati mangsa merupakan dua warga asing berusia 31 dan 40 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat swasta.

“Mangsa dipercayai menghantar video lucah kepada seorang wanita tempatan menyebabkan dua lelaki warga asing berusia 26 dan 27 tahun yang juga rakan sekerja mangsa bertindak sendiri dengan memukul mangsa kerana perbuatan tidak senonoh itu.

“Mangsa yang dibuang kerja didapati tidak membuat laporan polis dan sudah pulang ke negara asal manakala dua suspek juga melarikan diri selepas menyedari kejadian tular.

“Polis menasihati orang ramai tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat atau tular kejadian sudah lama berlaku,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Loading...
Terkini